Wan Azizah yang cadangkan 3 calon MB Selangor, kata Istana

Sultan Selangor bergambar dengan MB dan bekas MB.

Istana Selangor memaklumkan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang mencalonkan tiga nama termasuk Amirudin Shaari sebagai calon Menteri Besar Selangor sehingga Adun Sungai Tua itu dipilih sebagai MB.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada DYMM Tuanku.

“Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, maka DYMM Tuanku telah berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu YB Amirudin Shari yang juga Anggota Dewan Negeri Sungai Tua sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14,” kata kenyataan itu.

Sebagai rujukan, katanya, Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Untuk rekod DYMM Tuanku sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang mana DYMM Tuanku hendaklah melantik seorang anggota Dewan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar yang menurut pertimbangan Baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Negeri dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Artikel 51 dan Artikel 53 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, adalah berkaitan, tambahnya.

Kenyataan itu juga menafikan dakwaan ADUN Ijok yang mempersoalkan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei 2018 lalu yang dikatakan juga tidak mendapat restu daripada parti Pakatan Harapan.

Menurut Istana Selangor, sebelum pelantikan Azmin, ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat, Presiden Parti Amanah, Presiden Parti PPBM dan Setiausaha Agung DAP telah menghantar surat kepada Sultan Selangor mencalonkan Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor

Pencalonan ini dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa Azmin telah menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihanraya yang lalu.

“Oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok untuk mengatakan bahawa beliau (ADUN Ijok) dicalonkan untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Pihak Istana Selangor, katanya, sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campurtangan di dalam isu-isu berkaitan politik.

 

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0