Wan Hasrina jangan jadi budak suruhan Nik Abduh

Wan Hasrina jangan jadi budak suruhan Nik Abduh

 

Haniza TalhaBerang Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan semalam disambut bidasan tegas Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan itu mendesak Wan Hasrina menarik kembali kenyataannya serta-merta yang menggelar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai lupa daratan dan ibarat kacang lupakan kulit.

“Guna saluran yang betul jika ingin luahkan rasa tidak puas hati daripada menjadi budak suruhan Nik Abduh (Ketua Pemuda Pas Pusat), yang dilihat sangat mesra dengan Umno,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haniza, pihaknya amat kesal dengan reaksi Wan Hasrina itu yang dilihat memberi gambaran salah tentang hubungan kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan di Selangor.

“Sebagai seorang Ahli Majlis MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawab baginya mempertahankan hubungan kerjasama antara parti-parti yang selama ini bekerja keras membangunkan Selangor,” katanya.

Walau bagaimanapun, jelasnya, Wan Hasrina menyerang dan mengutuk kerajaan negeri pimpinan Azmin dengan kenyataan tidak berasas.

“Kami beranggapan, kritikan beliau tidak menggambarkan semangat persefahaman yang dinikmati oleh Pas bersama Pakatan Harapan.

“Fakta juga menunjukkan Pas hanya mampu menembusi Selangor selepas bekerjasama dengan Pakatan. Jika tidak kerana gabungn tersebut, Pas mungkin tidak menang apa-apa kerusi di Selangor,” bidas Haniza.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor atas cadangan dan persetujuan rakan-rakan dalam Pakatan bukannya kerana Pas.

“28 daripada 44 Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan telah menyokong dan tiada satu pun daripada Pas,” ujarnya.

Walaupun begitu, tambahnya lagi, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) dari Pas masih diberi jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atas sifat berlapang dada Azmin.

Pas Selangor pada masa ini dilihat berterusan menyerang PKR dengan mengungkit semula sumbangannya pada pilihan raya umum lalu meskipun masih tidak meletakkan jawatan lantikan politik dalam kerajaan negeri berkenaan.

Terdahulu, Pas termasuk kepimpinan pusat parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyasarkan cemuhan kepada Amanah dan DAP tetapi pada masa sama semakin mesra Umno-BN.