Wan Ji dipenjara: PH konsisten tolak undang-undang rakus, kejam

Wan Ji dipenjara: PH konsisten tolak undang-undang rakus, kejam

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penahanan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin semalam, sebagai tidak melambangkan sentimen baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rangka pemikiran yang usang, lapuk dan jumud nampaknya masih wujud dalam pentadbiran dan juga dalam sistem negara.

“Perkara itu harus ditangani dengan baik dan insyaAllah saya akan merujuk dan berbincang mengenai perkara ini dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pakatan Harapan (PH) konsisten menolak undang-undang yang rakus dan kejam. Sudah tentulah saya rasa tidak puas hati dengan pendakwaan berterusan dan hukuman yang agak keras.

“Kita harus tahu konteks dan harus jaga sistem Raja Berpelembagaan. Kita mesti ada semangat menghormati dan menjaga peraturan.

“Walaupun terbatas (ruang), namun ruang perlu diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang dijatuhi hukuman penjara, bermula semalam.

Wan Ji dihukum penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.