Malaysia Dateline

Wan Junaidi diharap jadi pemimpin transformatif ubah Parlimen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar diharap menjadi seorang pemimpin yang transformatif untuk mengubah Parlimen ke arah yang lebih baik.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, Wan Junaidi juga diharap dapat meninggalkan legasi yang beliau sendiri boleh banggakan.

Menyambut baik kenyataan Ahli Parlimen Santubong itu baru-baru ini berhubung indeks prestasi utamanya (KPI) dalam tempoh 100 hari, Chin Tong menjelaskan, banyak yang harus dilakukan untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang berwibawa.

“Yang baik perlu dipuji. Saya menghargai usaha Tan Sri Pandikar Amin yang cuba mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut struktur ‘jabatan’ untuk memantau semua kementerian pada 2016.

“Tetapi, cadangan beliau telah ditolak oleh kerajaan Najib Razak. Seperti apa yang dikatakan oleh Pandikar, ‘Barisan Nasional terlalu kuat ketika itu’,” katanya dalam satu kenyataan di blognya.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menambah, Wan Junaidi merupakan timbalan kepada Pandikar dalam Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013.

“Mengulas mengenai tempoh mereka berkhidmat, Pandikar berkata ‘kami terseksa bersama’. Pandikar dan Wan Junaidi merasai tekanan daripada pihak Eksekutif, lebih-lebih lagi daripada Menteri yang menjaga hal-ehwal pentadbiran Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, Chin Tong berharap setelah melalui pengalaman-pengalaman itu, Wan Junaidi bersedia menjadi seorang pemimpin yang transformatif untuk mengubah Parlimen ke arah yang lebih baik dan meninggalkan legasi yang beliau sendiri boleh banggakan.