Wan Junaidi puas hati  operasi bulan pertama moratorium bauksit

Wan Junaidi puas hati operasi bulan pertama moratorium bauksit

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpuas hati dengan operasi sepanjang bulan pertama tempoh moratorium perlombongan bauksit di sini berlangsung.

“Hari ini saya mendengar taklimat tentang pengendalian operasi sepanjang tempoh moratorium. Setakat ini, saya berpuas hati,” katanya ringkas kepada wartawan selepas menghadiri taklimat tertutup di Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPK) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Wan Junaidi mendengar taklimat berkaitan status semasa operasi bersepadu oleh PTG Pahang, status semasa kuantiti simpanan stok di dalam dan luar pelabuhan Kuantan serta perancangan menaik taraf kemudahan operasi Kuantan Port Consortium Sdn Bhd.

Beliau juga melawat kawasan tempat pemeriksaan dan simpanan stok di sekitar kawasan pelabuhan sebelum bertolak pulang ke Putrajaya.

Pada 6 Januari lalu, Wan Junaidi mengumumkan keputusan Kabinet mengenakan tempoh moratorium tiga bulan bermula 15 Januari ke atas perlombongan dan pengeksportan bauksit bagi mengawal pencemaran alam sekitar akibat aktiviti itu.

Kerajaan Negeri Pahang bina jalan khas angkut bauksit

Kerajaan Negeri Pahang akan bina jalan khas untuk mengangkut bauksit dari Bukit Goh ke pelabuhan Kuantan bagi mengelak pencemaran udara di kawasan perumahan.Pembinaan jalan sepanjang lebih lima kilometer itu telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang  dan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, usaha pembersihan sedang giat dijalankan di Pelabuhan Kuantan tetapi ada bahagian masih belum bersih kerana lori-lori membawa bauksit masih menggunakan beberapa laluan untuk masuk ke pelabuhan.

“Pihak pelabuhan juga telah bersetuju membuat laluan khas masuk dan keluar serta dermaga khas untuk membawa keluar bauksit. Semua ini perlu dilaksanakan dalam tempoh satu setengah bulan sehingga pelabuhan berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian dalam sidang media khas mengenai status pelaksanaan moratorium tiga bulan yang berakhir 15 April ini ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sebelum itu  pada sebelah pagi, beliau melawat Pelabuhan Kuantan dan diberikan taklimat dan turut meninjau keadaan di kawasan perlombongan bauksit dengan menaiki helikopter.

Wan Junaidi berkata hasil tinjauan itu beliau mendapati tiada aktiviti perlombongan bauksit dijalankan selaras dengan penguatkuasaan moratorium itu.

Beliau berkata pihaknya dan Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung penggunaan lori tertutup bagi mengangkut bauksit di jalan khas itu, dan lori itu tidak boleh melebihi had laju 60 kilometer sejam.

“Walaupun lori itu mempunyai satu jalan khas sahaja membawa bauksit, ia (lori) tidak boleh dipandu laju kerana mungkin ada pencemaran habuk,” katanya.

Menurutnya, beliau akan melawat Pelabuhan Kuantan pada penghujung Mac iaitu 15 hari sebelum tempoh moratorium tamat pada 15 April untuk melihat sendiri perkembangannya.

Kepada satu soalan, Wan Junaidi berkata: “Saya telah diberi jaminan oleh pihak pelabuhan akan mengeluarkan baki 1.4 tan metrik simpanan bauksit dalam satu bulan setengah di seluruh Kuantan.

“Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan itu, perkara ini akan dibawa kepada kabinet untuk diputuskan sama ada tempoh moratorium dilanjutkan.”

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata satu prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan oleh pihaknya, yang akan diguna pakai selepas tempoh moratorium tamat.

Katanya, SOP itu meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan di tempat pengekstrakan bauksit, pengangkutan, pengurusan tempat simpanan bauksit di dalam dan luar pelabuhan dan prosedur pengeluaran Permit Eksport (AP) bagi bauksit.

Sehubungan itu, Wan Junaidi turut mengarahkan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan penyiasatan menyeluruh mengenai degradasi alam sekitar dan sejauh mana ia akan menjejaskan ekonomi petani dan peladang di kawasan dan sekitar kawasan perlombongan bauksit.

TAGS