Malaysia Dateline

Wan Kharizal kekal Pengerusi AMANAH Perlis

Wan Kharizal Wan Khazim, kekal sebagai Pengerusi AMANAH Negeri Perlis bagi sesi 2019-2022 setelah berjaya dipilih dalam Konvesyen AMANAH Negeri Perlis yang telah diadakan di Kangar, semalam.

Manakala bagi kerusi Timbalan Pengerusi, Azizi Hashim telah berjaya dipilih untuk kali ini.

Sementara itu untuk jawatan Naib Pengerusi I pula ialah Zolkharnain Abidin dan Naib Pengerusi II pula ialah Mohamed Radzi Abdul Wahab dari kawasan Padang Besar.

Wan Kharizal semasa berucap turut berkata AMANAH amat menghurmati sistem demokrasi untuk mengenengahkan kepimpinan di semua peringkat.

“Ruang demokrasi harus digunakan dengan mencari jalan yang terbaik untuk mengharmonikan.

“Dalam AMANAH amat menghormati demokrasi walaupun ada pandangan dan kumpulan yang berbeza.

“Sistem yang diperkenalkan adalah dengan mengimarahkan demokrasi dan mewujudkan sistem untuk mengekalkan ukhwah yang merupakan aset yang amat penting dalam parti, ” tegasnya.

Wan Kharizal (duduk tengah)bersama barisan kepimpinan AMANAH Negeri Perlis semalam.

Kata beliau lagi, AMANAH adalah parti baru yang berhadapan dengan sejarah pilihan raya umum dan mendapat mandat rakyat sehingga menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Jelasnya, apabila menjadi kerajaan sedikit demi sedikit AMANAH sudah berjaya untuk berperanan bersama untuk membela nasib rakyat.

“Apa yang diberikan kepada kita adalah tanggungjawab dan harus diingati bahawa apa yang diharapkan adalah peranan sebagai sebahagian dari kerajaan yang memperjuangkan rahmatan lil alamin.

“Keputusan kita menjadi perhatian kakitangan kerajaan dan rakyat yang mahu melihat cara kepimpinan yang ditonjolkan.

“Kita tidak harus berebut rebut ghanimah dan seharusnya ialah untuk bersungguh-sungguh melaksanakan kebajikan, ” tambahnya.