Malaysia Dateline

Wan Saiful akui ‘luka’ Bersatu-Umno pasti ada

Ketika hubungan politik Bersatu dan Umno dilihat semakin meruncing, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan ‘luka’ antara kedua-dua parti itu pasti masih ada.

Ketua Penerangan Bersatu berkenaan berkata, ‘luka’ yang berlaku sebelum PRU-14 dua tahun lalu, semestinya ada hingga kini.

“Berlaku pertelingkahan antara parti-parti sebelum PRU-14, luka-luka itu pasti ada.

“Muhyiddin juga berkata bahawa luka-luka itu pasti masih ada hingga kini,” dipetik dalam wawancara menerusi akhbar Sinar Ahad hari ini.

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, Bersatu perlu memainkan peranan untuk menjadi pihak yang menenangkan keadaan.

“Kita menyatukan ahli-ahli parti yang ingin memperjuangkan nasib rakyat,” kata bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu.

Dalam masa sama, beliau menafikan tanggapan bahawa Bersatu dibentuk oleh orang Umno sepenuhnya.

“… Tidak betul. Saya sendiri datang dari Pas,” tambahnya yang sebelum ini merupakan ahli Pas.

Jelasnya, Bersatu dibentuk oleh mereka yang keluar dari Umno di peringkat atasan.

“Tapi dalam kalangan anak muda, saya rasa Bersatu merupakan parti pertama yang disertai oleh mereka,” ujar Wan Saiful lagi.