Malaysia Dateline

Wan Saiful anggap ‘kluster merungut’ cipta persepsi palsu kerajaan gagal

Selepas tanda pagar #KerajaanGagal sohor kini di Twitter minggu lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini tampil dengan memanggil pihak dipercayai pembangkang sebagai ‘kluster merungut’.

Bekas calon kerusi Parlimen Pendang pada PRU14 yang kalah itu berkata, ‘kluster merungut’ setiap hari cuba mengada-adakan cerita tidak benar bahawa Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan gagal.

Sehubungan itu, dia menegaskan agihan dividen tinggi RISDA dan FELCRA mencerminkan kecekapan kerajaan PN dalam memperkasakan ekonomi rakyat.

“Tahniah saya ucapkan kepada barisan Kabinet PN walaupun setiap hari ada `kluster merungut’ yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan ini gagal supaya mereka nampak seperti hero yang bersih.

“Hakikatnya kerajaan PN terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat. Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin,” katanya.

Untuk rekod, #KerajaanGagal tular selepas rakyat kecewa cara kerajaan PN memulihkan ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat berat sebelah dengan rakyat biasa segera dikompaun dengan jumlah yang tidak munasabah tanpa perlu dibuka kertas siasatan juga dikecam rakyat.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, peningkatan prestasi ekonomi negara bukan sahaja di atas kertas, tetapi lebih penting, dinikmati segenap lapisan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.

Katanya, dengan dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hanya bersifat ‘sementara’.

“Ia bukan taktik memberi ‘gula-gula’ yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka, tetapi sebaliknya merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari.

“Ia di samping program jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak COVID-19 kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan Wan Saiful itu susulan pengagihan dividen RISDA dan FELCRA dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta seperti diumumkan semalam.

Muhyiddin mengumumkan dividen RISDA berjumlah RM82.03 juta diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB)

Turut menerima manfaat sama, seramai 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersial (TSK) dengan keluasan 39,430 hektar di seluruh negara.

Sementara itu, 58,826 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek tahun 2020 secara berperingkat.

Wan Saiful berkata, jumlah agihan akhir FELCRA sebanyak RM107.05 juta itu adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada 2019.