Malaysia Dateline

Wan Saiful anggap Najib ‘sembunyikan’ Rosmah untuk alih isu lain

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilihat mengaitkan isteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri berkenaan mempunyai pasukan tentera siber yang ramai untuk menyerangnya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu secara sinis bertanyakan berapa juta dana pembiayaan yang Najib gunakan untuk ‘beribu cybertrooper’ jika Datin Seri Rosmah Mansor sahaja memperuntukkan RM100,000 sebulan untuk tujuan sama.

“Yang menariknya, setiap kali saya komen mengenai dia (Najib), maka beribu cybertroopers datang serang posting saya. Ramai sungguh team Najib Razak ni ya.

“Kalau isteri tersayang Datin Seri Rosmah Mansor dikatakan bayar RM100,000 sebulan untuk cybertroopers, agak-agak Najib bayar berapa juta sebulan ya?” soalnya dalam hantaran di Facebook yang dibanjiri hampir 2,000 komen selepas 15 jam dimuatnaik.

Bekas calon kerusi Parlimen Pendang pada PRU-14 yang kalah itu juga secara menyindir bertanyakan ke mana menghilangnya Rosmah yang sebelum ini dilihat seolah-olah menjadi liabiliti kepada imej Najib sebagai Perdana Menteri seperti pernah diakui bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor.

“Saya hairan juga mana hilangnya Rosmah Mansor. “Can I advise you something” dibuat di rumah saja. Bagus juga Rosmah ni. Patuh SOP (prosedur operasi standard),” perlinya lagi.

Untuk rekod, ayat “Can I advise you something?” (Boleh saya beri nasihat kepada kamu mengenai sesuatu) merujuk kepada sebahagian daripada perbualan telefon di antara Rosmah dan suaminya, Najib membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal SRC International Sdn Bhd (SRC).

Rakaman perbualan pada 27 Julai 2016 pada 12:46 pagi itu antara sembilan klip rakaman audio yang diperdengarkan oleh bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam sidang media pada 8 Januari tahun lalu.

Rakaman suara yang kemudiannya diterima oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan untuk menjadi bukti dalam pertuduhan rasuah membabitkan Rosmah itu turut membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menganggap Najib yang juga pesalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International itu melakukan strategi mengalihkan isu dengan ‘menyembunyikan’ Rosmah.

“Ini pun strategi ‘diversion’. Bila Najib sembunyikan Rosmah, orang dah tak nampak Rosmah.

“Bila orang tak nampak, maka perlahan-lahan dia mahu media dan rakyat lupa mengenai kemewahan Rosmah. Maka perhatian akan ‘divert’ ke isu lain,” kata Wan Saiful lagi.

Dia turut menganggap Najib begitu tekun melakukan hasut maya (troll) terhadap beberapa individu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang juga kerajaan dianggotai Ahli Parlimen Pekan itu sendiri.

Wan Saiful bahkan melabelkan Najib sebagai Ketua Perungut Kebangsaan sepenuh masa bagi tujuan yang dianggapkan sebagai usaha mengalihkan perhatian orang ramai kepada kes mahkamah yang masih dihadapi bekas Menteri Kewangan dan Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB itu.

“Perbuatan troll kerajaan sendiri ini sebenarnya pelik, tetapi dalam strategi ‘diversion’ (pengalihan) ia memang perlu dibuat.

“Sekarang Najib tak perlu ulang alik ke mahkamah sebab mahkamah tutup semasa PKP (perintah kawalan pergerakan) ke? Bolehlah jadi Ketua Perungut Kebangsaan sepenuh masa.

“Strategi utama Najib ialah ‘divert’ perhatian kepada isu lain supaya orang lupa apa yang telah dia buat,” katanya.

Beliau juga secara sinis menggalakkan Najib untuk memperbanyak rungutan mengenai kerajaan PN supaya perhatian rakyat dapat dialihkan daripada “berapa bilion yang telah dirompak”.

“Tunjukkan diri sebagai hero Umno supaya orang Umno sendiri lupa bahawa Umno kalah PRU-14 sebab orang marah Najib,” tempelak Wan Saiful lagi diakhiri dengan tagar (tanda pagar) #KlusterPerungut.