Malaysia Dateline

Wan Saiful bertegas tidak mahu tarik balik laporan polis

Wan Saiful Wa Jan tidak akan menarik laporan polis pernah dibuat mendakwa pemalsuan dokumen melibatkan Bersatu Perlis.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, menerima gesaan daripada pihak tertentu agar menarik balik laporan polis pernah dibuat.

“Saya digesa untuk menarik balik laporan tersebut. Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu.

“Sebelum itu, saya juga telah bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

“Saya ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut. Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu,” ujarnya dalam kenyatana hari ini.

Katanya lagi beliau tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis.

“Hal ini menambah iltizam saya untuk membantu Bersatu di Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia Baru perlu disambung menjadi Perlis Baru,” ujar bekas setiausaha bersatu Perlis ini yang dipecat kerana mendedahkan dokumen tersebut dan membuat laporan polis.

Malaysiakini hari ini melaporkan Bersatu Perlis menggugurkan Wan Saiful atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).