Wan Sharmila sesak nafas terjerut selendang, kongsi detik cemas ketika berdoa di Multazam

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Wan Sharmila sempat berhadapan dengan detik cemas ketika berkunjung ke Multazam seorang diri buat kali pertama untuk berdoa sewaktu menunaikan ibadah umrah.

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram, pelakon kecil molek itu mengakui merasa sesak nafas ketika badannya terbelit dengan selendang dipakai jemaah lain selepas selesai berdoa.

Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri daripada jerutan selendang tersebut selepas menerima bantuan daripada beberapa jemaah lain.

Wanita yang mesra disapa Lala itu juga bersyukur kerana diberikan peluang berkunjung ke tempat paling mustajab untuk berdoa bagi umat Islam walau terpaksa berhimpit dengan orang ramai.

“Kali pertama ini seorang diri, tetapi nak pergi juga berdoa di Multazam. Dalam hati Allah sahaja yang tahu. Lala terus cakap dalam hati, ‘Allah akan tolong aku, Allah akan tolong aku’. Alhamdulillah, Allah izinkan.

“Walaupun masa sudah sampai depan Multazam itu pun kena himpit macam apa. Ada orang belakang itu siap tarik tudung Lala tahu tak! Memang cemas sebab seorang diri! Apabila selesai berdoa di Multazam lagi cemas.

“Sebab Lala kena belit dengan selendang wanita jemaah India. Selendangnya mengikat perut Lala dan bersimpul pula dengan tali beg Lala. Sesak nafas! Akhirnya beberapa orang tolong dan berjaya melepaskan jerutan,” katanya.

Namun Wan Sharmila tetap menyifatkan perjalanannya menunaikan ibadah di Tanah Suci itu sebagai kenangan yang cukup bermakna meskipun perlu mengharungi pelbagai ujian seorang diri.

Pelakon berusia 43 tahun itu turut berdoa supaya semua pengikutnya juga diberikan peluang dijemput Ilahi untuk mengerjakan ibadah Umrah dan Haji di Tanah Suci suatu hari nanti.

“Banyak sangat cerita indah di hadapan Kaabah ini. Tak muat nak kongsi semua. Cuma kadang-kadang terfikirlah juga, dekat sini pun Allah takdirkan aku untuk mencipta kenangan seorang diri. Hanya Aku dan Allah.

“Semoga menjadi semangat untuk semua pasang niat dan berdoa ke sini. Lala doakan agar Allah jemput semua pengikut ke Baitullah menunaikan Umrah dan Haji. Insya-Allah, Amin.” Ujarnya.

Baca juga: Ada masalah rahim terbalik, Janna Nick menangis baca komen hina suami, persoal bila nak dapat anak