Wan Zawawi letak jawatan di PKINK, ingatkan usah jual harga diri

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr. Wan Zawawi Ismail yang melepaskan jawatan berkuatkuasa semalam meninggalkan ingatan menarik meminta supaya dalam mengejar harta dan pangkat, jangan sesekali menjual harga diri.

“Jangan menanam sifat dengki dan menurut hawa nafsu dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Jangan sekali-kali mengorbankan persahabatan kerana mengejar harta dan pangkat. Jangan sengaja mencari kesilapan dan keburukan rakan sebagai senjata untuk melonjakkan diri sendiri.

“Jangan pernah merasakan diri hebat sehingga melupakan kita hanyalah hamba Allah yg kerdil. Ingatlah harta dan pangkat tidak akan kekal bersama kita,” tulis beliau dalam nota persaraan setelah tidak menyambung kontrak perkhidmatan di agensi peneraju ekonomi Kelantan itu.

“Saya tidak lagi bertugas sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK setelah berkhidmat lebih kurang lima tahun yang mana lebih empat tahun adalah sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan.

“Setelah berbincang bersama keluarga tersayang dan demi kesinambungan kecemerlangan PKINK, saya mengambil keputusan untuk menolak penyambungan kontrak yang ditawarkan,” jelasnya.

Wan Zawawi merasakan sudah tiba masa untuk memberi peluang kepada muka baharu menerajui PKINK dan membawa PKINK ke arah yang lebih baik.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon sejuta kemaafan kepada semua jika sepanjang perkhidmatan saya di PKINK, saya telah membuat apa jua kesalahan dan kesilapan kerana sebagai seorang hamba Allah yang kerdil, kita tidak lari dari membuat kesilapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua yang telah membantu, menegur, menasihati dan membimbingnya sepanjang berkhidmat.

“Kepada yangg menganggap saya sebagai kawan, saya berharap persahabatan kita tidak berakhir di sini dan akan berkekalan sepanjang masa,” ujarnya.

Menurutnya, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan sebagai amanah yang akan menjadi saksi apabila bertemu Yang Maha Esa.

“Jadikan tanggungjawab yang diberikan sebagai alat untuk membantu kita bertemu Allah nanti. Jadikan rezeki yang kita terima adalah sumber untuk membawa keluarga menuju redha Allah.

“Jika kita ikhlas dalam kerja buat kita, InsyaAllah rezeki yang kita dapat juga akan membawa barakah dalam keluarga dan kehidupan kita.

“Yakinlah, InsyaAllah jika kita ikhlas dan beramanah, Allah akan memberi yang terbaik buat kita,”

Wan Zawawi adalah calon parlimen PKR bagi kawasan Machang pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Walau bagaimanapun, beliau tewas dan kemudian dilantik sebagai Ketua Eksekutif PKINK.

9.2
OVERALL SCORE
: 7.0
5 user votes x 9.6