Wan Zawawi siar mohon maaf kepada Husam

Wan Zawawi siar mohon maaf kepada Husam

Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail memohon maaf kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berhubung penyiaran tulisan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya sebelum ini.

Notis permohonan maaf di akhbar itu berdasarkan penghakiman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun lalu.

“Saya Wan Zawawi bin Wan Ismail dengan ini memohon maaf kepada Husam bin Musa di atas kesilapan saya berkongsi di laman Facebook saya artikel bertajuk, “Betulkah Koon Yew Yin memberi derma untuk Amanah (PAN) jatuhkan kerajaan Islam Pas Kelantan pada tahun 2017,” seperti dipetik.

Dr Wan Zawawi diarah berbuat demikian oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas Husam menang saman fitnah.

Beliau turut diperintah membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dan kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Dr Wan Zawawi diarah supaya menarik balik artikel berkenaan dan menyiarkan permohonan maaf kepada Husam di akhbar nasional selama sehari.

Terdahulu, Husam memfailkan saman susulan penyiaran tulisan di Facebook Dr Wan Zawawi yang mendakwa AMANAH Kelantan menerima duit dari seorang tauke judi parti DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan.

Permohonan maaf Wan Zawawi kepada Husam.