Kes 1MDB bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berlangsung sehingga kini dan terbaru wang yang kononnya adalah derma dari Arab Saudi rupanya tidak dipulangkan kepada ‘pendermanya’.
Sebaliknya ia dimasukkan ke dalam akaun Tanore Finance Corporation (Tanore) dan bukan kepada akaun Arab Saudi.
Isu kemasukan duit dalam syarikat itu dimaklumkan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin.
Pegawai penyiasat kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaklumkan wang berkenaan telah dikembalikan semula ke akaun Tanore pada Ogos 2013.
Memetik Sinar Harian, saksi pendakwaan ke-49 itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaaan utama.
Beliay memaklumkan pada 2014, Najib telah menerima sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Am Private Banking miliknya daripada akaun syarikat Blackrock Commodities Global Limited dan juga Vista Equity International Partners.
Tambahnya, sepanjang pemeriksaan dan siasatan dijalankan, pasukan penyiasat tidak menemui sebarang dokumen kepada kerajaan Arab Saudi atau Raja Abdullah yang menunjukkan tanda penghargaan atau terima kasih atas derma yang diberikan.
Perkara tersebut dimaklumkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Selain dua akaun berkenaan, terdapat kemasukan wang daripada dua lagi akaun syarikat iaitu Tanore dan Blackstone Real Estate.
Keempat-empat akaun syarikat ini adalah milik individu bernama Tan Kim Loong dan tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kerajaan Arab Saudi.
Menurut saksi itu juga, pada 2011 hingga 2014, wang yang diterima Najib juga bukanlah daripada Raja Abdullah atau kerajaan Arab Saudi.
Sebaliknya ia berpunca daripada sumber dana 1MDB dan tiada sebarang dokumen atau keterangan yang boleh megesahkan wang tersebut adalah wang derma.
Baca juga: Agong berkenan memandu sendiri ke restoran, minum petang bersama Anwar Ibrahim