Wang RM14,000 lesap, peniaga jalin cinta dengan isteri orang dipukul sekumpulan lelaki

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara menjalinkan hubungan cinta dengan isteri orang, peniaga asal Jempol menerima padah apabila dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Tidak hanya mengalami kecederaan, wang milik perniaga berkenaan yang bernilai RM14,000 turut ‘dirembat’ oleh salah seorang suspek dipercayai suami kekasihnya.

Menurut sumber, kejadian mencemaskan itu difahamkan berlaku di sebuah perkampungan Felda yang terletak di Serting, Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Januari lalu.

Berdepan detik cemas, mangsa yang merupakan lelaki bujang berusia awal 20-an itu mula berkenalan dengan isteri suspek kira-kira dua bulan sebelum kejadian berlaku.

Perkenalan melalui aplikasi WhatsApp itu kemudian bertukar menjadi perhubungan romantis sebelum mangsa dihubungi oleh suami kekasihnya, lapor Utusan Malaysia.

“Hubungan itu telah diketahui suspek. Mangsa telah diminta suspek untuk datang ke rumah. Sebaik sampai sekitar pukul 1 pagi, mangsa telah dipukul oleh suspek.

“Beberapa ahli keluarga suspek (turut memukul mangsa) menggunakan senjata di seluruh badan sehingga lebam. Mangsa dipukul dengan penyapu dan kayu cangkul.

“Getah paip (dilibas) di bahagian badan dan kepala serta ditumbuk di mata,” kata sumber yang tidak ingin dikenali itu memetik laporan Utusan Malaysia.

Belum puas memberi ‘pengajaran’, suspek yang merupakan suami kepada teman wanita mangsa itu kemudian telah meminta kad bank dan nombor pin secara paksa.

Difahamkan, pengeluaran wang tersebut dilakukan agar peniaga itu menganggung ganti rugi telefon bimbit yang telah dihadiahkan oleh isteri suspek kepada mangsa.

Tidak melibatkan jumlah yang sedikit, salah seorang ahli keluarga suspek bertindak pergi ke bank dan mengeluarkan wang sebanyak RM15,000 daripada akaun mangsa.

“Suspek telah mengambil duit sebanyak RM14,000 dan menyerahkan RM1,000 kepada mangsa,” bongkar sumber berkenaan kepada akhbar tempatan tersebut.

Bertindak atas laporan, kesemua enam suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun telah berjaya ditangkap oleh pihak polis dan direman untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta 384 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Kecoh masa tengah jawab ‘exam’, rupanya ada pelajar bersalin dalam kelas