Malaysia Dateline

Wang RM210,000 milik saya, ayah dan ibu untuk renovasi rumah, kata Syed Saddiq

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, duit RM210,000 yang hilang dari rumah beliau adalah yang beliau, ibu dan ayah beliau yang dikeluarkan untuk membuat renovasi rumah mereka.

“Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan renovasi rumah yang kami miliki bersama. Selainnya adalah untuk tujuan peribadi,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataannya hari ini.

Syed Saddiq mengulas satu laporan yang telah dibuat oleh sesaorang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana yang disahkan oleh kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Saya juga tidak akan berkompromi bab integriti dan akan memastikan diri dan keluarga saya memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis dan SPRM,” katanya.

Bagi beliau dan keluarga, tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dalam kes ini.

“Malahan kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang.

“Sekiranya benar duit itu duit haram, why should we report it?” katanya.

Beliau ambil maklum akan laporan SPRM yang dibuat dan faham akan tugas SPRM dalam menyiasat segala tuduhan dan laporan.

“Saya akan berikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM,” katanya.

Menurut Ketua Armada Bersatu itu, Mereka juga telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang tersebut.

” ~RM90 ribu milik saya, ~RM50 ribu milik ibu saya dan ~RM70 ribu milik ayah saya,” katanya.

Menurut Syed Sadiq, sampai sekarang beliau tidak memiliki sebuah rumah walaupun sudah menjadi menteri.

“Dengan itu saya, Abuyah & mama mengambil ketetapan untuk membeli rumah bersama.

“Dan saya berhasrat ingin pindah ke rumah tersebut selepas siap renovasi.

“Rumah belum siap renovasi, peralatan elektronik & perabot semua belum dibeli lagi,” katanya.

FITNAH SERANG PRIBADI

Beliau juga sudah mengarahkan pegawai beliau untuk membuat laporan Polis dan mengambil tindakan kepada mereka yang memfitnah beliau dan keluaga “dengan cubaan untuk mengaitkan kes ini dengan Duit Haram atau wanita yang dikatakan bersama saya.”

“Ini adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga.

“Saya harap semua pihak berhenti berspekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat siasatan,”katanya.

Syed Saddiq sebelum ini mengesahkan rumah beliau telah dipecah masuk namun menafikan laporan media sebelum ini bahawa kehilangan itu merupakan wang Bersatu.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya. Pihak polis dan forensik sudah datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Laporan media bahawa RM250,000 itu merupakan wang Bersatu adalah tidak benar dan anggaran kecurian belum dapat disahkan,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

JUMLAH GAJI TERKUMPUL

Ketika membuat perisytiharan hartanya selepas menjawat jawatan sebagai menteri, Syed Saddiq mengumumkan beliau mendapat RM50,238 pendapatan sebulan.

Sehingga kini, beliau telah bekerja selama 22 bulan sebagai menteri. Oleh itu jumlah wang yang telah beliau kumpulkan adalah RM1,105,236 jika beliau tidak menggunakan wang yang ada.

Ini kerana perbelanjaan harian seorang menteri termasuk kereta, minyak, hotel dan makan ditanggung oleh kerajaan atau pihak berkaitan bukan dari poket peribadi menteri.