Malaysia Dateline

Wang Tabung Harapan digunakan bayar hutang 1MDB, kata Tg Zafrul di Dewan Rakyat

Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan di Dewan Rakyat, semua duit yang dikumpulkan melalui Tabung Harapan telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Menjawab desakan demi desakan tentang bagaimana wang Tabung Harapan digunakan, Tengku Zafrul berkata, “Tabung Harapan telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.”

Beliau menjawab celahan yang dibuat oleh bekas menteri kerajaan BN, Datuk Seri Noh Omar di Dewan Rakyat yang bertanya, “Bagaimana dengan Tabung Harapan.”

Para penyokong Pas dan Umno sering membangkitkan isu bagaimanakah wang Tabung Harapan digunakan dengan mendakwa ia berlaku pecah amanah.

“Tabung ini dilancarkan pada 30 Mei 2018 sejurus PH memerintah negara dengan mengutip derma daripada rakyat atas alasan memulihkan hutang negara seperti yang didakwa PH.

“Sehingga hari ini tak ada apa-apa cerita dan tarikh akhir 14 Januari lalu PH memaklumkan jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia telah mencecah sebanyak RM202,716,775.10 dan status dana ini perlu dihebahkan kepada umum kerana ianya melibatkan wang rakyat.

“Hutang negara masih tidak susut, malah telah meningkat dengan mendadak sehingga RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018,” dakwa seorang penyokong Umno sebagaimana yang disiarkan oleh UMNO Online.

Padahal sebelum ini, Lim Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan telah menjelaskan semua wang Tabung Harapan telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.