Malaysia Dateline

Wanita 52 tahun maut angkara Myvi buat pusingan U di lorong yang tidak dibenarkan

Gara-gara melakukan pusingan U di lorong yang tidak dibenarkan, sebuah perodua Myvi menyebabkan kemalangan maut terhadap seorang penunggang motosikal di Kilometer 68 Jalan Alor Setar – Butterworth, Padang Temusu, semalam.

Dalam kejadian tersebut, sebuah motosikal yang ditunggani dua beranak telah berlanggar dengan sebuah Myvi menyebabkan seorang wanita berusia 52 tahun maut manakala anak perempuannya cedera parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu di lorong motosikal arah sama secara tiba-tiba membuat pusingan U.

“Ia menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kanan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, perlanggaran itu mengakibatkan dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lagi kereta jenis Honda Civic yang dipandu dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 1.55 tengah hari itu, mangsa berusia 52 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira sejam kemudian.

Sementara anak perempuannya berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC patah paha kiri.

Katanya, pemandu Perodua Myvi yang berusia 24 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 22 tahun tidak mengalami kecederaan.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan.

Gambar sekadar hiasan

Baca juga: Budak 11 tahun jadi saksi mak ayah dipijak sampai tak bernyawa ketika orang ramai lari dari gas pemedih mata

Baca juga: Nak ‘cucuk’ duit tapi letak kereta di petak pam petrol – Ini nasihat buat mereka yang suka buat perangai begini