Malaysia Dateline

Wanita 59 tahun kes terkini koronavirus

Seorang pelancong wanita warganegara China disahkan positif koronavoris menjadikan jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 15 kes, sebagaimana dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang medianya berkata, kes terbaharu itu melibatkan wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China.

Wanita terbabit bersama-sama dengan suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Januari 2020. Mereka kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari 2020.

Pada kebanyakan masa, beliau hanya berada di tempat penginapannya. Beliau mula mengalami gejala demam pada 26 Januari 2020.

Mangsa tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya.

Beliau dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari 2020 dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat.

Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

Pada 5 Februari 2020, wanita terbabit masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis.

Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menerima pemakluman dari pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari yang sama dan beliau telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya.

Menurut Dr Dzukefly, ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 6 Februari 2020.

“Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil.

“Suaminya yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama. Beliau bagaimanapun tidak bergejala. Sampel telah diambil dan menunggu keputusan makmal,” kata beliau.

Jelas menteri berkenaan, dengan pertambahan satu  kes baru ini, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 15 kes; iaitu tujuh kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV, enam kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut, 11 kes adalah warganegara China dan empat orang adalah warganegara Malaysia.