Wanita 63 tahun beli rumah 2 tingkat untuk didiami lebih 30 kucing terbiar – “Saya tak tinggal sini”

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita rela mengeluarkan belanja besar untuk membeli kediaman dua tingkat bukan buat didiami sebaliknya dijadikan tempat perlindungan lebih daripada 30 ekor kucing.

Itulah antara usaha mulia dilakukan oleh seorang wanita warga emas berumur 63 tahun yang masih bergerak aktif menjadi aktivis penyelamat kucing secara sukarela meski usianya kini sudah lanjut.

Perkara itu didedahkan menerusi satu rakaman berdurasi dua minit 24 saat dikongsikan di platform TikTok di mana wanita dikenali sebagai Aunty Wendy itu ditanya perakam video mengenai perbelanjaan rumah.

Dalam rakaman itu, Aunty Wendy memaklumkan bahawa kediaman berkenaan tidak didiami olehnya namun dibeli khusus untuk menjadi tempat tinggal kepada lebih dari 30 ekor kucing terbiar yang diselamatkannya.

Aunty Wendy kemudian menjemput perakam video itu untuk masuk ke dalam rumahnya di mana dapat dilihat kediaman tersebut telah diubah suai supaya sesuai dan selesa untuk didiami haiwan peliharaannya.

Kediaman dengan keluasan 5,000 kaki persegi itu bukan sahaja dilengkapi dengan tempat tidur, berehat dan juga bermain malah turut terdapat bilik khusus untuk ruang rehabilitasi buat kucing sakit, bunting atau anak baru lahir.

@nottipetfood

WOULD YOU BUY A WHOLE HOUSE FOR YOUR CATS? Because that’s what Wendy from Lingy Pet Adoption did! For these rescues, the right nutrition could be the difference between surviving and ✨thriving✨ – that’s what Wendy believes when it comes to feeding her rescued cats! Be a part of Notti Charity this year and help us help Wendy give these strays a second chance at life 🐱 ❤️ #cats #catfood #rescuecat #adoptdontshop #hometour #kualalumpur

♬ original sound – Notti Pet Food – Notti Pet Food

Menurut Aunty Wendy, kediaman berkenaan sudah dibeli olehnya di dalam tempoh sekitar satu tahun setengah di mana setakat ini, rumah itu telah didiami lebih daripada 30 ekor kucing.

Keputusan untuk membeli rumah tersebut difahamkan didorong oleh tugas sukarelawan Aunty Wendy sebagai aktivis penyelamat kucing yang mahukan anak bulus itu memiliki tempat bagi melalui proses pemulihan.

“Kami mahukan (kucing ini menjalani proses) peralihan (tempat) yang sebaiknya. Perkara ini sama seperti yang dilakukan di pusat pemulihan untuk membuatkan kucing menjadi mesra dan rapat semula dengan manusia.

“Mereka kini mempunyai banyak kemudahan dan bebas memanjat serta lakukan apa sahaja yang disukakannya,” jelasnya dalam rakaman itu sambil menunjukkan seluruh ruangan rumahnya yang terlihat seperti ‘hotel kucing’ itu.

Mengulas lanjut, wanita warga emas terbabit mengakui terpaksa bekerja sepenuh masa sambil membuat aktiviti menyelamat kucing pada waktu yang sama walaupun usianya kini sudah 63 tahun.

Hal ini berikutan Aunty Wendy masih memerlukan wang untuk menampung segala perbelanjaan kucing-kucing yang diselamatkannya termasuk kos melibatkan rumah, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Kucing di tempat perlindungan saya ini, mereka semua pernah berada di dalam keadaan yang hampir mati. Jadi memberikan rawatan sebetulnya termasuklah makanan sihat adalah satu aspek yang penting.” Ujarnya.

Baca juga: Penyelidik kata Malaysia kini jadi lokasi pilihan hartawan luar beli rumah lebih RM22 juta