Malaysia Dateline

Wanita AMANAH agresif tubuh ‘Skuad AWAN D’Siber’ bantu sebar usaha kerajaan

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) mengambil langkah proaktif menangani kekecewaan beberapa ahli AWAN terhadap kegagalan kerajaan dalam menepis persepsi negatif oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bertindak atas kekecewaan tersebut, sayap Wanita AMANAH akan melancarkan cybertroopers kerajaan atau Skuad AWAN D’Siber yang bakal menjadi ‘lidah’ dan agen penerangan bagi pihak kerajaan.

Ketua AWAN, Dr Siti Mariah Mahmud berkata keputusan agresif tersebut bagi menyedarkan kerajaan yang disifatkan sebagai ‘lambat’ menghebahkan segala pencapaian kerajaan sehingga mensia-siakan usaha yang digembeleng selama ini.

“Skuad AWAN D’Siber akan dilancarkan sebagai langkah pemulaan usaha parti membantu kerajaan dalam memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan dasar, polisi dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“AWAN D’Siber akan berperanan memberi penjelasan berkenaan duduk perkara sesuatu isu yang dibangkitkan. Adalah penting untuk setiap AWAN Negeri dan kawasan menubuhkan pasukan yang sama supaya isu-isu bersifat lokal dapat diselesaikan dengan lebih pantas.

“Saya dapat banyak aduan dari AWAN yang banyak tak puas hati. Kita tak mahu salahguna enjin kerajaan tapi saya nak ingatkan bahawa tentera siber Umno sedang bebas, tetapi tentera siber kita pula tidak ada. Tujuan  tentera siber kita untuk menangkis semua tohmahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional kali ke-4, di Bangi Convention Centre, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Dr Hassan Baharom; Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim.

Dr Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang itu turut mengakui bahawa realitinya kerajaan terpaksa berhadapan dengan kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak oleh kerana dasar keterbukaan yang diamalkan Pakatan Harapan (PH).

Namun katanya, perkara terpenting yang diharapkan adalah strategi komunikasi yang berkesan agar rakyat mendapat penerangan yang jelas berkenaan inisiatif-inisiatif yang disediakan kerajaan terutama dalam Belanjawan 2020

Beliau turut menyeru agar AWAN seluruh negara akan terus menjadi agen perpaduan bersempena Konvensyen yang diadakan hari ini.

“Walau tahun ini kita berdepan dengan konvensyen Pemilihan, saya merayu untuk kita pastikan, selepas semua berlalu, jadilah kita ibarat biduk lalu, kiambang tetap akan bertaut kemudian.

“Kita perlu tenang dalam menterjemah kesatuan pasukan. Jangan pula kita, sebagai ahli parti memerintah, kita yang melompat lebih tinggi tidak keruan,” tegasnya lagi.

Antara perwakilan AWAN yang hadir di Bangi Convention Centre malam tadi.