Malaysia Dateline

Wanita AMANAH bantah peraturan baru guna dana tanpa kelulusan Parlimen

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional membantah tindakan Perikatan Nasional (PN) meluluskan undang-undang yang membenarkan Perdana Menteri meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa melalui Parlimen sepanjang penguatkuasaan darurat ini.

Setiausaha AWAN, Soraya Salim berkata, penambahan dua lagi seksyen baru di dalam ordinan darurat telah mencabuli kuasa Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara, selain menghakis kredibiliti demokrasi berparlimen di Malaysia.

Lebih dikesali katanya, peruntukan baharu dalam ordinan tersebut telah mengenepikan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan negara.

“Kuasa Parlimen amat penting lebih-lebih lagi melibatkan perbelanjaan wang rakyat yang bakal memberi implikasi buruk kepada prinsip kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan negara.

“Pewartaan undang-undang ini secara langsung merobek prinsip semak imbang serta pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan legislatif khususnya dalam aspek pengurusan perbelanjaan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan mewartakan satu ordinan baharu yang memberikan kuasa kepada perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar untuk meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu mengundang kritikan pelbagai pihak dengan yang terbaru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang langkah tersebut yang menurutnya perkara berkenaan cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, reputasi negara yang sangat ‘memprihatinkan’ saat ini akan terus menghakis keyakinan rakyat kepada ekonomi negara.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan kerajaan Muhyiddin telah menggunakan darurat untuk berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan Parlimen.

Beliau berkata, darurat yang dilaksanakan kononya untuk membendung pandemik Covid-19 akhirnya digunakan untuk memberi kuasa kepada kerajaan berbelanja tanpa berpandukan Belanjawan 2021 yang dibentangkan tahun lepas.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada Rabu, ordinan baharu itu akan berkuatkuasa bermula 31 Mac 2021 sehingga darurat ditamatkan.

Mengulas lanjut Soraya berkata, pelaksanaan undang-undang tambahan ini jelas memperlihatkan kerakusan pentadbiran PN yang memperalatkan pengisytiharan darurat bagi melangkaui kuasa-kuasa Parlimen serta menafikan peranan demokrasi berparlimen.

Katanya, PN tanpa segan silu menambah dan meluaskan perbelanjaan mereka tanpa keperluan dipersoalkan wakil-wakil rakyat sama ada perbelanjaan tersebut memberi manfaat langsung kepada rakyat atau tidak.