Wanita Amanah cadang Pakatan segera bersiap hadapi pilihan raya

Wanita Amanah cadang Pakatan segera bersiap hadapi pilihan raya

Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) mencadangkan Pakatan Harapan (PH) membentuk jawatankuasa pilihan raya secepat mungkin bagi menunjukkan kesungguhan PH membuaat persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) 14.

Ketua Awan Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PH perlu bersiap sedia dengan konsensus yang lebih awal baik dalam pembahagian kerusi, calon-calon, manifesto dan kabinet bayangan.

“Jika kita percaya bahawa kemenangan menumbangkan regim Umno BN tidak boleh dicapai secara bersendirian maka kita perlu jujur menguruskan persiapan pilihan raya khususnya PRU14 dengan semangat berpasukan yang tulen dan mantap,” kata beliau merujuk kepada fasal 5 Perjanjian Pakatan Harapan iaitu Perjalanan Pilihan Raya.

Pada 9 Januari lalu, PH memeterai Perjanjian Pakatan Harapan memfokuskan tujuh fasal utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik mampan membabitkan Amanah, PKR dan DAP.

Siti Mariah juga berkata, PH perlu menyusun strategi secara matang dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak supaya tidak berlaku pertembungan yang merugikan PH.

“Rakyat tidak suka melihat kita berebut kerusi, maksudnya bila parti-parti komponen mengumumkan untuk bertanding di kerusi yang sama.

“Selepas 9 Januari ini moga tiada lagi pengisytiharan calon dan kerusi yang ditandingi oleh mana-mana pihak kecuali Majlis Presiden.

Mengikut fasal 5 perjanjian, PH akan meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili PH dalam sesuatu pilihan raya di mana-mana peringkat.

Calon tersebut akan dipilih oleh parti masing-masing yang diberi kepercayaan oleh Majlis Presiden untuk mewakili PH dalam pilihan raya tersebut.

Menurut Siti Mariah juga, jika ada mana-mana presiden ketiga-tiga parti dalam PH mendahulu majlis Presiden membuat pengumuman, mereka berhak diambil tindakan mengikut perjanjian.

“Memang dari segi tindakan siapa boleh ambil tindakan kepada presiden, sukar.

“Mungkin kita buat sistem amaran seperti perlawanan bola sepak, kita pakat-pakat hantar kad kuning lepas tu kad oren atau kad merah keapda presiden dan mana-mana pimpinan yang melanggar perjanjian,” katanya.

Beliau juga selain itu berkata, Awan meletakkan kepercayaan penuh kepada menteri besar Selangor Datuk Seri Mohammed Azmin Ali dan PKR untuk memimpin perundingan dengan ‘balu Pakatan Rakyat) bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN dalam pilihan raya umum (PRU) 14.

 

TAGS