Malaysia Dateline

Wanita AMANAH diharap dapat berkonvensyen dalam suasana muhibah

Julung-julung kali berucap, Pengarah Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Norhayati Bidin menzahirkan harapan agar setiap ahli AWAN menempuh hari pemilihan dalam suasana muhibah dan penuh ukhwah.

Menghargai penat lelah setiap ahli AWAN dalam menggerakkan sayap parti itu, Norhayati turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama tinggi setiap ahli bagi menjayakan konvensyen tersebut.

“Tahniah saya ucapkan pada Jawatankuasa AWAN Negeri dan Kawasan yang fokus, tabah dan sabar dalam menguruskan mesyuarat tahunan di peringkat masing-masing.

“Kita melalui cabaran yang bukan sedikit, kita melalui fasa yang meletihkan tetapi saya yakin hasil kerjasama yang baik, akan hasil satu fokus yang ingin melakukan terbaik agar organisasi yang kita sayangi dapat kita urus tadbir dengan baik.

“Kita mempunyai cerita di peringkat masing-masing. Saya yakin kadangkala kita ada rasa marah, kecewa, tapi akhirnya sumber energi kita hanya untuk satu iaitu parti ini perlu diurus dengan urus tadbir yang betul,” katanya dalam Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional kali ke-4, di Bangi Convention Centre, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Dr Hassan Baharom; Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi; Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim; dan Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dikesempatan itu, beliau menyeru agar setiap ahli AWAN keseluruhannya menjalankan tanggungjawab memilih bakal pemimpin yang akan menjadi penentu kepada hala tuju parti AMANAH yang kini menjadi sebahagian dari pemegang tampuk pimpinan negara.

“Kita semua maklum, tahun ini adalah tahun pemilihan yang berlaku di semua fasa parti dan peringkat. Esok adalah pemilihan di peringkat AWAN Nasional.

“Maka laksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya kerana ianya akan menentukan fasa yang akan datang dan ke mana parti ini akan dibawa. Lihatlah kemampuan yang kita ada agar AWAN berada di fasa lebih baik.

“Semoga segala pengorbanan yang kita curahkan untuk hadir dan jayakan konvenysen ini, diterima sebagai amal bakti,” ujarnya.