Wanita Amanah gesa kerajaan wujud pendaftaran pesalah seks

Wanita Amanah gesa kerajaan wujud pendaftaran pesalah seks

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Nasional menggesa kerajaan memperkemas mekanisme kawalan terhadap bekas penjenayah khususnya penjenayah seksual bagi menjaga keselamatan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Ketua Wanita Awan Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia termasuk mewujudkan pendaftaran pesalah seks dan melakukan analisis psikologi ke atas bekas pesalah.

Gesaan itu berikutan kepulangan bekas perogol bersiri warganegara Malaysia, S. Selva Kumar ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada,

“Awan menganggap beliau boleh dikira masih berbahaya dan mungkin kembali melakukan kesalahan tersebut lagi.

“Awan menyokong penuh agar beliau dipantau seperti yang dijamin oleh pihak polis, bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka,” katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Selva Kumar, yang berasal dari Pulau Pinang, dihukum penjara selama 24 tahun pada 1992 setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.30 pagi semalam dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.

Kerajaan Sabah semalam mengharamkan Selva Kumar memasuki negeri itu kerana dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman kepada orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Namun menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebagai bekas banduan yang sudah bebas, Selva Kumar tidak perlu melaporkan diri di mana-mana balai polis dan dia bebas bergerak seperti rakyat Malaysia yang lain.

Laporan media asing memetik pihak berkuasa Penjara Kanada sebagai berkata terdapat risiko tinggi yang Selva Kumar akan mengulangi perbuatannya dan mungkin membunuh.

TAGS