Malaysia Dateline

Despacito

Wanita Amanah gesa penyiaran lagu lucah ‘Despacito’ dihentikan

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menggesa sebuah lagu dari Sepanyol, nyanyian bersama artis antarabangsa terkenal Justin Bieber bertajuk “Despacito” diharamkan.

Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Wan Atriza Umar berkata, lirik lagu tersebut mengandungi unsur lucah.

“Saya memandang serius perkara ini kerana lagu tersebut terus menjadi siulan anak-anak muda tanpa mereka memahami maksud sebenar lagu tersebut.

“Radio-radio tempatan termasuk berbahasa Melayu yang turut sama memutarkan lagu tersebut menyebabkan fenomena lagu tersebut seperti sukar dikawal lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga kesal kerana lagu-lagu yang bermasalah seperti ini tidak ditapis penyiarannya oleh kementerian yang bertanggungjawab.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu segera memainkan peranan dengan bertegas dalam isu seperti ini yang boleh merosakkan moral dan gaya berhibur masyarakat dalam negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji langkah beberapa artis dan individu yang mengambil inisiatif menyanyikan semula lagu tersebut tetapi dengan lirik yang diubahsuai dan lebih sopan.

“Walaupun mungkin sedikit bertentangan dengan hak cipta tetapi saya ingin memuji langkah beberapa artis dan individu yang mengambil inisiatif menyanyikan semula lagu tersebut tetapi dengan lirik yang diubahsuai dan lebih sopan,” katanya.

Beliau juga berharap penggiat seni tanah air boleh mengembleng tenaga untuk menyediakan hiburan yang lebih baik dan bermoral serta mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Kita menghormati hak berhibur tetapi garis panduan yang lebih jelas perlu wujud supaya hiburan itu tidak merosakkan tetapi menjadikan manusia menjadi lebih baik,” katanya.