Malaysia Dateline

Wanita AMANAH gesa telus siasat dakwaan gangguan seksual, henti salahkan mangsa

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menggesa siasatan terhadap dua kes gangguan seksual yang didakwa diganggu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa sekatan jalan raya dilakukan secara telus dan profesional.

Pengerusi Biro Undang-undang (KANUN) AWAN Nasional, Soraya Salim menegaskan anggota-anggota PDRM terbabit wajar dihadapkan ke mahkamah melangkaui tindakan tatatertib sekiranya wujud elemen jenayah.

Dalam masa sama, pihaknya juga kesal dengan pelbagai reaksi dan komen negatif warganet yang memperlecehkan wanita dan meremehkan aduan mangsa terbabit.

“Komen-komen kebanyakannya bersifat menuding jari kepada mangsa, mempersoalkan kesahihan dakwaan dan menghakimi tindak-tanduk serta penampilan mangsa.

“Kami menegaskan bahawa stigma negatif terhadap mangsa, sikap menyalahkan dan menghakimi mangsa ini merupakan punca utama kebanyakan mangsa enggan tampil membuat laporan akan salahlaku seksual,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Keengganan mangsa membuat laporan berhubung salahlaku seksual itu, jelasnya, lantaran mereka khuatir dikutuk masyarakat dan dipersalahkan atas dakwaan mereka sehingga pelaku gangguan seksual terlepas daripada dipertanggungjawabkan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Bukit Aman, Zamri Yahya dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, PDRM sedang menyiasat kes terbabit.

Mereka turut menegaskan bahawa PDRM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas anggota terlibat.

Mengulas lanjut, Soraya berkata, gangguan seksual hakikatnya berlaku lebih kerap daripada yang disangka dan merupakan bentuk keganasan yang lazimnya menimpa wanita tanpa disedari atau jarang dilaporkan.

“Sikap masyarakat mempersoalkan sama ada dakwaan-dakwaan dikemukakan adalah dakwaan palsu juga tidak berasas.

“Realitinya tidak sampai 1 peratus aduan gangguan seksual adalah palsu dan lebih malang lagi, majoriti wanita enggan mengemukakan aduan antaranya disebabkan bimbang dikecam orang sekeliling,” tambahnya lagi.