Malaysia Dateline

Wanita AMANAH kesal MP Umno hina wanita

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menyelar kenyataan Ahli Parlimen Baling daripada Umno yang telah melemparkan kenyataan berbaur parkauman dan menghina wanita terhadap Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

“Kami mengecam tindakan ini yang secara jelas bersifat menghina fizikal dan merendah-rendahkan martabat kaum wanita menerusi kata-kata seperti “tak nampak, gelap” dan “pakai bedaklah!”, malah merupakan kata-kata yang tidak menggambarkan ketinggian martabat Parlimen (unparliamentary),” kata Soraya Salim, Pengerusi Biro Kanun AWAN.

Mereka juga secara tegas menzahirkan rasa jelik kerana tiada seorang pun kalangan Ahli-ahli Parlimen wanita daripada PN yang bangkit menempelak tindakan Ahli Parlimen Baling ini mahupun menzahirkan solidariti kepada seorang wanita yang dihina di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

“Menyedari bahawa insiden begini bukanlah kali pertama berlaku, kami menggesa semua Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak untuk menyatakan pendirian yegas menolak sebarang kenyataan dan sikap menghina sama ada merujuk warna kulit, jantina, perwatakan fizikal dan apa-apa jua kenyataan seksis atau menghina wanita di institusi Parlimen yang mulia, khususnya di Dewan Rakyat,” katanya.

Bagi beliau, perbahasan dan perdebatan sewajarnya dilakukan secara matang dan terhormat sesuai dengan kedudukan Parlimen sebagai cabang Perlembagaan yang harus dihormati.

“Perdebatan di Dewan Rakyat harus bebas daripada sebarang elemen perkauman, seksis dan bersifat merendah-rendahkan antara Ahli Parlimen,” katanya.

Katanya, insiden demi insiden yang telah mencalarkan kemuliaan dan martabat Parlimen Malaysia, sekaligus mencatat sejarah hari terburuk dalam demokrasi di Malaysia pada hari ini tidak harus diburukkan lagi dengan sikap menjelikkan Ahli Parlimen yang gagal menghormati maruah wanita.