Malaysia Dateline

Wanita AMANAH sedia ambil kembali kerusi miliknya di P Pinang

Wanita AMANAH (AWAN) Pulau Pinang telah siap siaga bagi memastikan kerusi yang telah terlepas ke tangan pihak lawan di beberapa buah kawasan Dun dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu dirampas semula dalam PRU ke 15 kali ini.

Keyakinan ini dizahirkan oleh ketuanya Aida Yusof semalam.

Jelas beliau, kerusi Dun yang pernah ditandingi oleh AMANAH dalam PRU yang lalu kini menjadi milik Umno dan Pas di Pulau Pinang adalah Sungai Dua, Permatang Berangan dan Penaga.

Manakala kerusi Bayan Lepas dan Permatang Pasir berjaya dimenangi oleh AMANAH dalam PRU yang lalu.

“AWAN akan berusaha semaksima mungkin bagi memastikan kesemua kelima-lima kerusi Dun yang ditandingi dalam PRU yang lalu menjadi milik AMANAH semula.

“Gerak kerja bersama dibawah panji Pakatan Harapan (PH) akan dipertingkatkan secara ekslusif bagi memastikan apa yang dirangka dan direncanakan dapat direalisasikan.

“Begitu juga dengan kerusi Parlimen yang pernah ditandingi oleh AMANAH termasuk Kepala Batas mampu untuk dirampas kembali dari Umno kerana rakyat semakin muak dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan PN tatkala ini khususnya bagi kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang kini diterajui oleh Bersatu, ” tegas beliau.

Sejajar dengan itu kata Aida lagi, jentera AWAN akan bersama-sama dengan PH bagi memastikan kuasa pemerintahan tetap kekal dibawah kepimpinan PH bukan saja di Pulau Pinang, tetapi juga di peringkat kerajaan Pusat menjelang PRU ke 15 yang akan datang.