Wanita Amanah sedia lawan Pas di Kelantan

Wanita Amanah sedia lawan Pas di Kelantan

Jentera angkatan wanita Amanah (Awan) Dun Demit Kubang Kerian kini giat mengadakan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan tahun ini.

Ketua jawatankuasa penyelaras Dun berkenaan Mardian Osman berkata satu kursus khas untuk penceramah kelompok dan perayu undi akan diadakan dalam masa terdekat ini.

“Kita telah mengenal pasti senarai ahli-ahli wanita Amanah yang berpotensi untuk menyertai gerakan ini.

“Satu arahan akan dikeluarkan supaya cawangan-cawangan dan jawatankuasa-jawatankuasa daerah mengundi mengenal pasti calon-calon berpotensi untuk bersama-sama dalam kursus ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa Awan Dun Demit di pejabat Amanah kawasan Kubang Kerian petang semalam.

Menurutnya tumpuan pemilihan tenaga kempen pilihan raya ini akan diberi kepada golongan muda yang mempunyai maklumat dan pengetahuan yang lebih lengkap dan terkini.

“Kita akan mengabungkan semua tenaga dari pelbagai latar belakang terdiri dari mereka yang berpendidikan agama dan mereka yang mendapat latihan profesional,” katanya.

Sementara itu pengerusi biro pilihan raya Awan negeri Norashidah Jaafar yang turut sama di mesyuarat itu berkata semua dun-dun seluruh Kelantan telah diarahkan menggerakkan jentera wanita masing-masing.

“Walaupun kita belum membuat keputusan muktamad mengenai kawasan-kawasan yang bakal ditandingi Amanah, tetapi kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk ditandingi.

“Untuk peringkat ini, kawasan yang kini diwakili Pas menjadi tanggungjawab bagi Amanah untuk bersiap sedia sepenuhnya,” katanya.

Selain menyediakan tenaga penceramah, Awan katanya akan menyediakan petugas-petugas polling agent, counting agent dan barong (pacaba).

“Kita akan melatih ahli-ahli wanita Amanah supaya mereka dapat membantu jentera parti semasa pilihan raya,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)