Malaysia Dateline

Wanita AMANAH seru mangsa gangguan seksual tampil buat aduan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menzahirkan solidariti kepada semua wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual dan menyeru mereka tidak gentar untuk tampil mendapatkan keadilan serta tidak berdiam diri.

Pengerusi Biro Undang-undang (KANUN) AWAN, Soraya Salim berkata, masyarakat juga pada masa sama perlu segera menghentikan segala respons negatif terhadap wanita yang tampil mengemukakan aduan gangguan seksual.

Menurutnya, masyarakat harus berhenti menormalisasikan perilaku gangguan seksual oleh mana-mana pihak, tidak sesekali memperlecehkan mangsa sebaliknya menumpukan kepada kesalahan yang dilakukan oleh pelaku.

“Gejala menghukum mangsa oleh masyarakat hanya akan merumitkan lagi usaha menangani gangguan seksual yang sudah sedia sukar ketika ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha membendung gangguan seksual sukar memandangkan gangguan seksual lzimnya berlaku secara peribadi serta kekurangan saksi bagi membuktikan kesalahan pelaku dan ketiadaan undang-undang khusus menangani gangguan itu.

Sehubungan itu, Soraya menegaskan hanya dengan sokongan institusi, keluarga dan komuniti sekeliling boleh membantu mangsa keluar daripada situasi gangguan seksual ini.

KANUN AWAN turut menyenaraikan langkah-langkah perlu diambil jika berada dalam situasi gangguan seksual di tempat awam:

i. Merekodkan butiran kejadian dan pelaku serta merakam secara audio dan visual perbuatan itu sekiranya keadaan mengizinkan.

ii. Segera membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan. Sebaiknya anda tidak berseorangan, ajak ahli keluarga, rakan atau peguam mengiringi anda membuat laporan polis.

iii. Menghubungi talian-talian sokongan untuk bantuan lanjut.

iv. Berkongsi dengan orang yang boleh dipercayai dan dapatkan sokongan.

v. Jika menghadapi trauma atau tekanan, dapatkan nasihat pakar atau kaunselor berdaftar.

vi. Usah berdiam diri kerana anda tidak boleh menghentikan gangguan seksual dengan berdiam diri, sebaliknya aduan anda mampu menyelamatkan lebih ramai orang lain daripada menjadi mangsa.