Malaysia Dateline

Wanita AMANAH tuntut PH ditambah baik, lebarkan sokongan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menuntut pengurusan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi tumpuan kepada usaha tambah baik secara bersepadu serta melebarkan kerjasama dan sokongan politik.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Sabu berkata, PH adalah gabungan kerjasama politik yang seharusnya sudah lebih matang, perlu terus diperkukuh dan ditambahbaik daripada pelbagai aspek dengan penyertaan seimbang sama ada daripada sudut suara dan keputusan.

“Mempertahankan PH tidak seharusnya bermaksud mempertahankan mana-mana tokoh atau individu pimpinan, sebaliknya mempertahankan dasar, prinsip dan keputusan bersama.

“PH bukan gabungan kerjasama politik milik mana-mana tokoh atau parti secara selektif.

“Mempertahankan PH seharusnya bermaksud keinginan dan kesanggupan mengukuhkan muafakat dan konsensus untuk menghasil keputusan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Reaksi tersebut selepas tiga hari Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara.

Aiman Athirah Sabu

Mengulas kritikan rakyat terhadap tindakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan sebahagian besar Ahli Parlimen PH menolak undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021, Athirah mengakui itu sebagai “sangat mengejutkan dan tidak sewajarnya berlaku.”

“Kami ingin menyatakan solidariti kami bersama rakyat daripada pelbagai peringkat dan kaum yang turut dibadai pertanyaan, kritikan dan keraguan tentang adakah PH benar-benar masih boleh diharap.

“Persoalan, kritikan dan keraguan umum ini mesti dipandang serius oleh kepimpinan tertinggi semua parti dalam komponen PH.

“Saya telah menyatakan dengan jelas kepada Presiden dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bahawa yang kita perlukan adalah penjelasan tuntas.

“Kita tidak mahu jawapan-jawapan berulang bertujuan melindungi atau meletakkan keputusan seseorang individu terhadap perkara yang sangat penting, seolah-olah begitu tinggi melebihi keputusan dan suara organisasi atau berpasukan,” tegasnya.

Kegagalan berulang

Sehubungan itu, Athirah berpendapat Majlis Presiden PH wajib menzahirkan kewibawaan secara kolektif dengan mengembalikan nilai equal partnership dan smart leadership.

“Majlis Presiden PH tidak harus berlindung di sebalik ungkapan strategi dan taktikal yang hakikatnya dilihat sebagai kegagalan berulang.

“Kritikan bersifat konstruktif harus dijawab dengan jujur. Sebarang kekhilafan dalam proses mencapai konsensus tidak wajar dijadikan alasan menafikan peluang untuk terus memperbaiki persembahan PH ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, PH sebagai katalis pencetus dalam melebarkan kerjasama politik melalui satu grand coalition.

“Kita mahu mendengar lebih banyak suara kepemimpinan untuk rakyat yang upaya mengangkat pandangan-pandangan bernas, bukannya semata-mata ego yang akhirnya bikin kita semua lemas.

“Membangun dan mengukuhkan kerjasama politik PH menuntut usaha serius dan kolektif bagi menambahbaik pengurusan gabungan itu sendiri sama ada dalam proses membuat keputusan, mahupun pelaksanaan kepada keputusan.

“Proses-proses itu selain memerlukan kecekapan bertindak, perkara-perkara seperti kejujuran, ketelusan, keterbukaan, kebersamaan, dan kebertanggungjawaban bersama adalah dituntut padu,” tambahnya lagi.