Wanita Amanah turut bantu mangsa banjir di Kelantan

Wanita Amanah turut bantu mangsa banjir di Kelantan

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan mendapat suntikan semangat untuk terus membantu mangsa banjir dengan kehadiran pengerusi Biro Kemanusiaan dan Bencana Alam Awan Nasional Mariam Abdul Rashid.

Beliau yang tiba di bilik operasi banjir Rantau Panjang petang Khamis telah menyertai gerakan membantu mangsa banjir Awan yang mengagihkan bekalan makanan dan keperluan harian.

Beliau yang disambut bendahari Awan negeri Ramlah Che Musa di lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa turut menyampaikan sumbangan dari penderma-penderma dari luar Kelantan.

Menurut Ramlah, lawatan Mariam bertumpu di kampung-kampung yang penduduknya terperangkap dalam banjir akibat jalan untuk masuk ke kampung dinaiki air.

“Mangsa banjir ini kategori ini adalah paling paling ramai kali ini.

“Oleh kerana kes seperti ini menyebabkan mangsa tidak pergi ke pusat pemindahan, mereka tidak mendapat bantuan banjir dari pihak kerajaan yang hanya bertumpu kepada mereka yang berada di pusat pemindahan sahaja,” katanya.

Menurutnya kehadiran pasukan bantuan banjir anjuran Amanah jelas dapat meringankan beban terutama mereka dari golongan daif.

“Bila kita temui mereka sebahagian besar telah habis bekalan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan seumpamanya.

“Kedatangan kita cukup membuat mereka terharu walaupun sumbangan kita amat sederhana,” katanya.

Mariam yang menelusuri beberapa kampung dengan menaiki bot kelihatan amat terharu dan begitu bersemangat untuk memberi khidmat dan beliau turun sendiri mengharungi air banjir menyampaikan sumbangan.

“Beliau yang terpaksa bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana jadual yang padat berjanji akan datang semula pada minggu hadapan kerana begitu terkesan dengan kesukaran yang dihadapi mangsa banjir.

“Beliau beritahu akan meyakinkan penderma-penderma supaya membantu mangsa walaupun air semakin surut kerana dalam keadaan ekonomi kritikal sekarang, mangsa tentu sukar menghadapi situasi selepas banjir,” katanya.

TAGS