Malaysia Dateline

Wanita antara 13 individu ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas

Seorang wanita antara 13 individu yang ditahan di sekitar Semporna dan Tambunan di Sabah kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam operasi selama dua hari bermula 11 Mac.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando berjaya menahan 12 warga Filipina termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan.

“Kesemua yang ditangkap disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan sama ada kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan pengganas Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF).

“Ada di kalangan suspek yang ditangkap juga terlibat memberi perlindungan kepada elemen-elemen pengganas asing yang bersembunyi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memberikan butiran tangkapan pertama pada 11 Mac di Semporna, Sabah, Mohamad Fuzi berkata ia melibatkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia 40 hingga 60 tahun.

“Empat daripada mereka disyaki terlibat dalam pertempuran bersama-sama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada tahun 2017.

“Mereka turut memberi perlindungan kepada elemen-elemen kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan mendapati dua lagi suspek pula disyaki anggota kumpulan RSF yang terlibat dalam insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013.

“Mereka turut terlibat dalam merekrut anggota-anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan itu dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah, kedua-dua suspek telah melarikan diri ke selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF.

“Pada November 2018, kedua-dua suspek telah menyusup masuk ke Semporna untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan RSF di Sabah,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan kedua iaitu pada hari sama di Tambunan, Sabah pula melibatkan lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 dan 63 tahun.