Keterujaan seorang wanita untuk memandu Perodua Bezza yang baru dibeli dalam tempoh lapan jam bertukar suram setelah mendapati kereta itu rosak.
Lebih mengecewakan, syarikat pengeluar juga didakwa enggan bertanggungjawab untuk menggantikan kereta yang mengalami kerosakan itu dengan kenderaan baharu.
Malah wanita yang dikenali sebagai Nagakanni Subramaniam itu masih membayar ansuran bulanan bernilai RM537 meskipun sudah lebih dua bulan keretanya tersadai.
Berkongsi kronologi kejadian di laman Facebook, Nagakanni memaklumkan Perodua Bezza 13X itu dibelinya pada 17 Oktober lalu dari wakil pengedar di Segamat, Johor.
Walau bagaimanapun, enjin kenderaan tersebut tidak dapat dihidupkan pada pukul 7.40 malam iaitu hanya selepas lapan jam kereta itu dibawa pulang daripada kedai.
“Sehari selepas itu, kereta saya ditunda ke Pusat Servis Perodua Segamat sebelum mekanik di sana memberitahu yang enjin kereta itu telah rosak. Pada hari yang sama, saya memohon untuk digantikan dengan kereta baharu.
“Namun, saya diminta untuk menunggu keputusan dari ibu pejabat dalam masa dua minggu hingga satu bulan. Kemudian pada 9 November, En Sufian mewakili pihak ibu pejabat akhirnya menghubungi saya.
“Katanya menurut penyiasatan awal, enjin kereta saya rosak kerana ada bendasing seperti gula. Katanya, material tersebut tak digunakan oleh Perodua. Masalahnya saya tak bawa makanan atau gula dalam tempoh lapan jam,” kongsinya.
Meskipun tidak pernah mengusik bahagian enjin, Nagakanni pada 15 November lalu dihubungi Sufian untuk membuat pinjaman semula bagi mendapatkan kereta baharu.
Wanita berkenaan bagaimanapun membuat keputusan menolak saranan tersebut kerana hutang Bezza yang mengalami kerosakan itu masih dalam tanggungannya.
“Saya berkata, pinjaman baharu hanya boleh dibuat selepas dia selesaikan pinjaman lama terlebih dahulu. Kerana sehingga hari ini, saya masih perlu membayar pinjaman kereta yang rosak itu.
“Bagaimanapun pada 4 Disember, jurujual dari wakil pengedar di Segamat meminta dokumen daripada saya untuk membuat pinjaman kedua. Saya menolak permintaan itu kerana pinjaman pertama masih belum diselesaikan.
“Empat hari selepas itu, bahagian khidmat pelanggan beritahu bahawa cadangan akhir belum dipersetujui. Perodua sedang selidik kesilapan dalaman atau kata lain, mereka belum membuat keputusan mengenai pertukaran kereta.” Ulasnya.
Namun sehingga hari hantaran tersebut ditulis iaitu pada 2 Januari 2024, Nagakanni masih membayar ansuran Bezza itu setiap bulan walau belum menerima respon dari Perodua.
Terpaksa menularkan perkara itu di laman Facebook agar masalahnya diselesaikan segera, Nagakanni mengakui hanya mahu mempertahankan haknya sebagai pembeli.