Malaysia Dateline

Wanita bercangkung dapat duit, orang ramai kongsi sifat pemurah rakyat Malaysia

Tidak sampai 10 saat rakaman video, seorang wanita yang bercangkung sambil menadah tangan menerima sumbangan duit daripada orang yang lalu-lalang di kawasan sebuah pasar.

Pengguna Facebook Shovia Alfrice Rana memuatnaik video pendek aksi wanita berbaju putih dan berseluar pendek hitam itu menerusi Facebook Reels dengan kapsyen, “duduk-duduk dapat uang”.

Individu yang bercangkung dan berpelitup muka sambil memegang dua bungkusan plastik itu dilihat segera bangun sebelum menganggukkan kepala mungkin mengucapkan terima kasih sejurus menerima sumbangan daripada wanita bertudung dan memakai beg biru.

Ada yang meninggalkan komen, “Rezeki tu” yang kemudiannya dibalas oleh Shovia, “Iyaaa. Baik sekali.”

Sementara itu, Shafiq Anuar menulis, “Inilah sifat atau adab orang Melayu memang sangat baik dan ramah pemurah lagi. Duduk saja dah dapat duit”.

Bagi pengguna Facebook, Siti Rohana pula berkata, “Biasalah orang Malaysia ni. Pantang nampak orang dduduk begitu, disangkanya minta sedekah.”

Malah, dia menambah selalu diperhatikan kotak cadangan tetapi penuh dengan wang sekaligus melambangkan pemurahnya rakyat negara ini sebenarnya.

Paparan video ringkas dengan kira-kira 5,000 tanda suka dan lebih 200 komentar itu turut memuatkan cerita orang ramai berkenaan pengalaman mereka menerima wang lantaran mungkin dianggap sebagai peminta sedekah dan pengemis.

Malah, dianggap melucukan apabila ada yang dianggap sebagai penjaga tandas di pasar raya hanya kerana dilihat berdiri di tepi lokasi itu selain peti cadangan juga dipenuhi wang.

Kisah 1

“Saya niaga aiskrim di jam besar Sungai Petani, malam minggu. Saja seronok-seronok sebab stok masih ada dan bawa keluarga ambil angin lewat malam.

“Anak-anak duduk di belakang main-main tapi yang seorang lagi sedang berbaring di tikar, tak buat apa-apa.

“Tiba-tiba datang seorang remaja terus selit kat anak duit, banyaklah jugak. Tak sempat panggil sebab saya pun terkejut sangat, anak pun sama. Terus remaja tu masuk dalam kereta dan beredar.

“Duit tu kami bubuh dalam tabung masjid dan sedekah pada individu lain yang lebih berhak.” – Siti Rohana

Kisah 2

“Jangan kata duduk. Pernah masa di Centre Square, saya duduk di meja orang yang kutip duit tandas tu sebab tunggu kawan lambat sangat.

“Pekerja yang kutip duit tu tiada. Tiba-tiba datang awek comel lalu, saya senyum sajalah. Dia pun senyum, lantas bagi saya 20 sen.

“Malunya. Saya cakaplah saya bukan jaga tandas ni. Saya tunggu kawan.” – Azuan Ramli

Kisah 3

“Anak saya pun sama tau. Adalah satu hari tu dia bosan sebab ikut pergi hospital lawat saudara. Biasalah, budak-budak bawah umur bukan boleh dibawa naik ke dalam wad.

“Jadi, dia pun buatlah aksi gimnastik tungging terbalik yang dia biasa buat di rumah tu di lobi hospital. Badan anak saya ni kurus saja. Jadi, melanting melantunglah badan dia masa buat aksi tu.

“Yang syoknya, habis saja anak saya buat aksi tu, ada hamba Allah ni, aunty India selamba saja datang bagi duit kat anak saya sambil usap kepala anak.

“Terkedu saya dibuatnya. Rezeki anak tapi lepas ni jangan buat macam tu lagi. Mak masih mampu lagi.” – Suhaila Ella

Kisah 4

“Teringat dulu masa sekolah menengah, pergi satu mall temankan Pak Su. Masuk tandas tapi saya tunggu luar. Agak lama pula dia di dalam, kebetulan ada kerusi kayu tepi pintu.

“Saya ambillah duduk walaupun kerusi tu patah buat sendal pintu saja. Tengah dok cover tahan duduk atas kerusi tu datang akak-akak nak masuk tandas letak terus duit ramai-ramai macam tu sebab tak tahan nak terkencing.

“Ramai-ramai biasalah riuh sua duit dok cepat-cepat tak tahan ni. Saya pun tengok atas bawah semua sekali, lepas tu depa dok kata, laa… tengok apa tu? Dah bayar tu, sambil gelak-gelak.

“Saya pun cakap, saya bukan jaga tandas. Saya tunggu paknakan. Depa pun terus sambung gelak ingatkan saya jaga tandas sebab duduk situ. Dalam hati menyesal pula saya ambil kerusi tu.” – Saiful

Kisah 5

“Ada satu hari tu, ada sekumpulan remaja nampak ayah saya duduk atas tangga tepi Mydin, terus diberikannya duit.

“Ayah saya pun kabo ke dia, pakcik bukan mintak sedekah, pakcik tunggu bini pakcik masuk Mydin. Suka selok budak-budak tu.” – Nurul Syafierah

Kisah 6

“Saya pula dengan suami pergi hospital berangkutlah dengan anak dua orang. Bila sampai hospital ada kakak ni datang sembang-sembang kejap kemudian dia hulur duit.

“Saya pula naik segan. Tolak juga masa tu, kakak tu cakap, tak mengapa niat nak sedekah untuk suami saya.

“Selang beberapa minit ada lagi seorang kakak duduk belakang saya. Dia pun hulur juga, untuk anak-anak katanya. Rezeki anak-anak.” – Roziah Mat Daud