Wanita bergaji RM4,000 lebih menyesal beli Honda City, anggap kesilapan terbesar dalam hidup

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai kekesalan seorang wanita selepas membeli sebuah kenderaan yang disifatkannya sebagai kesilapan terbesar dalam hidupnya.

Mana tidaknya, keputusan diambil tanpa berfikir panjang itu telah memberikan kesan yang boleh dikatakan cukup mendalam kepada wanita terbabit sehingga menjejaskan pengurusan kewangannya.

Lebih memburukkan keadaan, wanita itu langsung tidak memiliki baki simpanan selepas menambah komitmen dengan membeli kereta walaupun menerima pendapatan sekitar RM4,300 setiap bulan.

Wanita berusia 29 tahun itu kemudian tampil meminta nasihat di media sosial untuk mencari jalan keluar dalam usaha memperbaiki pengurusan kewangan demi kepentingan masa hadapannya kelak.

“Saya menerima gaji kasar sebanyak RM4,300. Tetapi saya telah melakukan kesilapan terbesar sebelum ini dengan membeli kereta Honda City. Sekarang masih dalam proses memulihkan kewangan.

“Saya tidak mempunyai banyak simpanan. Malah sebulan gaji pun sampai. Saya memang tak begitu pandai dalam menguruskan kewangan. Jadi tolong berikan beberapa nasihat kepada saya,” kongsi wanita itu.

Tanpa mendedahkan identiti sebenar wanita berkenaan, perkongsian itu dimuat naik di platform X melalui akaun milik Ammar Faris yang sering memberikan kesedaran mengenai pengurusan kewangan di media sosial.

Dalam hantaran tersebut, Ammar yang tampil berkongsi pandangan mulanya memberi peringatan kepada orang ramai agar mempertimbangkan kos luaran selain ansuran bulanan sebelum membeli kereta.

Perkara ini termasuk kos tersembunyi seperti harga petrol, insurans kereta dan cukai jalan, caj tempat letak kenderaan, tol, penyelenggaraan, servis berkala serta pembaikan kecemasan sekiranya berlaku kerosakan.

“Ingat! Anda tidak sepatutnya membeli kenderaan hanya kerana keinginan dan jurujual pula cakap anda mampu. Pinjaman mungkin lepas. Tetapi anda sebenarnya tidak memiliki kapasiti untuk menanggung gaya hidup seperti itu.

“Kecuali jika pembelian itu memberikan dorongan untuk anda berusaha lebih keras terutama dalam memperoleh pendapatan lebih tinggi (melalui pekerjaan sampingan). Jangan jatuh ke dalam perangkap untuk tarik perhatian orang lain dengan kereta mahal.

“Tetapi dalam hati tertekan setiap bulan selepas tengok penyata bank. Mulakan dari bawah, bina asas kewangan dahulu kemudian naik taraf perlahan-lahan apabila anda benar-benar mampu.” Katanya dalam perkongsian itu.

Ammar turut memberi nasihat kepada wanita itu untuk menambah pendapatan sekiranya mahu terus memiliki kenderaan tersebut termasuk mencari kerja sampingan untuk mengukuhkan semula simpanan.

Baca juga: Dapat makanan daripada pegawai, kakak ‘cleaner’ terkejut staf minta pulangkan balik