Wanita bersama 21 ekor kucing lumpuh terperangkap, mohon diselamatkan

Oleh KIM SYAZIE

Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa negeri telah dinaiki air menyebabkan ramai yang terperangkap dalam banjir.

Terbaru pagi ini, seorang pengguna Facebook meminta pertolongan selepas terperangkap sejak semalam bersama 21 kucing peliharaannya di dalam rumah.

Pengguna tersebut, Nurul Ain Abdul Hamid berkata, dia bimbang dengan keadaan air yang semakin tinggi dan memerlukan bantuan kerana hampir kesemua kucingnya lumpuh kedua-dua belah kaki dan buta.

“Assalamualaikum semua. Semalaman saya tunggu bantuan tapi tak ada juga. Hujan dah berhenti tapi air makin naik.

“Minta siapa-siapa yang boleh bantu selamatkan saya dan 21 ekor anak bulus istimewa saya yang hampir kesemua lumpuh kedua-dua belah kaki dan buta kedua-dua belah mata.

“No 58 Jalan Tabah 25/24, Taman Sri Muda 40400 Shah Alam Selangor. 01156272091,” tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada kemaskini terbaru melibatkan keadaan mangsa dan kucingnya.

Sejak semalam, ramai yang mula memuatnaik hantaran di media sosial meminta pertolongan orang ramai untuk keluar dari rumah mereka setelah banjir melepasi paras dada.

Pasukan keselamatan dan bantuan bencana juga sehingga hari ini giat menggerakkan jentera bagi membantu mangsa yang terperangkap.

Pagi ini dilaporkan, sekumpulan penduduk menyelamatkan diri dengan berteduh di bumbung Surau Nanding di Hulu Langat selepas air naik di kawasan tersebut.

Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir selain Kelantan, Pahang dan Terengganu.