‘Wanita Besi’ AMANAH naik ETS, teksi hadiri konvensyen

‘Wanita Besi’ AMANAH naik ETS, teksi hadiri konvensyen
Mak Long ceria ketika ditemui Norhayati (tengah) dan Rodziah

Dalam usianya 68 tahun, Salmiah Mat Jali yang mesra membahasakan dirinya sebagai Mak Long masih gigih hadir seorang diri ke Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC, Shah Alam.

“Mak Long datang dengan ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) kemudian ambil teksi,” katanya ketika ditemui di luar dewan konvensyen.

Ditanya mengapa tidak minta bantuan dengan rakan Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), pesara bidan klinik desa itu menjawab, masing-masing sibuk dengan urusan.

“Eh, buat apa nak susahkan orang. Mak Long bukan ‘orang besar’ nak minta orang mai (datang) ambil,” katanya yang datang dari Larut, Perak.

Mak Long yang juga Penaja AMANAH Kawasan Bagan Serai hadir pada konvensyen kali ini sebagai pemerhati.

Pertama kali, penulis mengenali Mak Long ketika Muktamar Pas di Kelantan pada 2012.

Ketika itu, beliau menaiki motor skuter menempuh perjalanan jauh dari Larut ke Kota Bharu.

Menjawab tentang skuter yang lazim digunakannya untuk hadir ke muktamar dan konvensyen sebelum ini, beliau memberitahu tidak lagi berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu.

“Anak sudah tidak benarkan. Anak Mak Long dah kunci motor,” jawabnya secara berseloroh.

Lagipun, tambah Mak Long, anaknya bimbang keselamatan opah kepada 20 cucu itu.

“Manalah tahu, nanti kalau kemalangan, dah orang sekarang kata apa? Viral? Kecoh pula ramai orang tahu,” katanya sambil ketawa.

Pernah ketika Muktamar Pas pada 2013, beliau kemalangan ketika hampir tiba di lokasi muktamar.

Motornya ketika itu rosak teruk tetapi mujur Mak Long selamat tidak tercedera walaupun beliau terpelanting di atas kereta.

Ketika kami sedang berbual, dua perwakilan Norhayati Samion dan Rodziah Hasbullah masing-masing dari
Gerik dan Kampar menegur Mak Long sambil bersalaman dan berpelukan seketika bertanyakan khabar.

Mak Long yang merupakan bekas Timbalan Ketua AWAN Larut turut berkongsikan petua untuk memastikan kekal sihat dan cergas.

Ibu kepada lapan anak itu memberitahu telan sahaja tiga ulas kecil bawang putih yang sudah ditumbuk.

“Minum sama dengan air yang botol mineral kecil itu. Alhamdulillah. Itulah Mak Long amalkan sejak 12 tahun lalu.

“Badan pun tidak kebas. Tak payah sibuk habis duit beli mahal-mahal vitamin bawang putih.

“Badan kita ini banyak toksik sebab makan macam-macam. Makan pil vitamin itu hanya turun terus ke perut.

“Tapi makan bawang putih ini dia merebak ke seluruh darah, seluruh badan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mak Long menasihatkan ahli AMANAH khususnya penggerak AWAN agar meneruskan sokongan kepada saf pimpinan parti sesi 2019-2022 ini.

“Teruskan kita ahli AMANAH, ahli AWAN bekerja untuk parti, bekerja untuk rakyat.

“Dulu kita bekerja kuat bangkang apa yang tidak betul kerajaan dulu buat.

“Sekarang kita pula sudah jadi kerajaan. Sekarang tugas kitalah dari Cawangan, Kawasan, Negeri sampai ke Putrajaya perbetulkan kerajaan.

“Kita buat kerja itu semua kerana tanggungjawab yang Allah sudah beri. Semua itu untuk rakyat juga,” katanya lagi kepada penulis sebelum Mak Long meneruskan langkah ke surau.