Malaysia Dateline

Wanita bukan Doraemon Rina, Siti Zailah

Terima kasih diucapkan pada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui oleh Datuk Seri Rina binti Mohd Harun sebagai Menteri KPWKM yang baru dan timbalannya Ustazah Datuk Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff kerana kini nama Malaysia disebut-sebut serata dunia.

31 Mac lalu, KPWKM telah memuat naik siri gambar “Kebahagiaan Rumah Tangga dibina Bersama: Bagaimana untuk Elakkan Pergaduhan Suami Isteri di Rumah” bersama hashtag #WanitaCegahCOVID19 ke laman Instagram mereka.

Mesej untuk memberi ‘teladan baik’ buat pasangan suami isteri ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akhirnya menjadi bunga tahi. KPWKM menerima kecaman yang sangat hebat oleh masyarakat terutamanya warganet kerana kandungan yang disampaikan itu memaparkan stereotaip SALAH tentang peranan wanita.

Antara dua teks bermasalah dalam siri gambar tersebut adalah:

1. Jika melihat pasangan tidak membantu kerja di rumah, elakkan dari menyindir. Minta tolong, dan beritahu – ada kalanya pasangan kita perlu ‘dimaklumkan’ tugas mereka barulah mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

2. Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan berleter dan tegur menggunakan nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja barulah tiada pergaduhan di rumah.

Kandungan-kandungan bermasalah seperti ini sebenarnya kerap dibincangkan dalam lapangan pengajian gender. Perbezaan gender, lelaki dan perempuan wujud atas konstruk sosial atau proses sosialisasi. Ia tidak khusus pada kaum Melayu saja, sebaliknya hampir semua masyarakat di dunia berdepan dengan konsep salah tentang peranan gender dalam keluarga.

Lelaki dan wanita telah dibentuk untuk melakukan peranan tertentu khusus berdasarkan jantina masing-masing. Malah, konstruk sosial ini membentuk stereotaip yang menentukan ‘tugas lelaki’ dan ‘tugas wanita’. Ia taboo dalam masyarakat kita sehingga ke hari ini.

Sedangkan keluarga dibina antara lelaki dan perempuan secara bersama-sama. Seharusnya, peranan lelaki dan perempuan dalam menguruskan anak, keluarga dan rumah juga bersama-sama bertiangkan toleransi dan rasa kebertanggungjawaban.

Sehingga hari ini, isu poster KPWKM masih dibincangkan warganet, masyarakat dalam dan juga luar negara! Ternyata KPWKM dibawah pimpinan Rina menyebabkan Malaysia menjadi topik perbincangan kerana kementerian yang seharusnya membela wanita, mendorong wanita melakukan hal-hal lapuk untuk kepuasan lelaki atau suami semata-mata.

Reuters, Teipei Times, Arab News, The Guardian, South China Morning Post, Al Jazeera, The Straits Times dan banyak lagi portal berita antarabangsa telah melaporkan ‘usaha’ KPWKM untuk ‘membantu’ wanita menghadapi kemelut Covid-19 ini. Ya, nama negara kita menjadi bahan berita di portal-portal antarabangsa dengan ‘headline’ seperti, ‘Kerajaan Malaysia Menasihatkan Wanita untuk Berhenti Beleter dan Perlu Bersolek’ dalam tempoh PKP.

Women’s Aid Organisation (WAO) atau Pertubuhan Pertolongan Wanita yang berjuang untuk hak-hak wanita di Malaysia terutamanya berkaitan dengan keganasan terhadap wanita turut mengecam kandungan yang disiarkan KPWKM. Bagi WAO, amat tidak wajar seorang wanita perlu bersuara Doraemon dan berkelakuan seperti kanak-kanak untuk memuaskan hati suami.

Mengikut laporan daripada Bahagian Komunikasi Korporat Talian Kasih, terdapat peningkatan 57% panggilan yang dibuat kepada talian tersebut sepanjang tempoh PKP. Ini membuktikan bahawa ramai wanita, kanak-kanak dan keluarga dalam situasi sukar kerana terkurung di rumah. Bukankah isu-isu seperti ini yang lebih patut ditangani Rina dan kementeriannya? Itupun, Talian Kasih hampir ditutup sebelum dikecam oleh banyak pihak, lalu dibuka semula.

Bayangkan kalau warganet, masyarakat dan pihak-pihak yang peka akan masalah wanita tidak bersuara lalu membiarkan Talian Kasih ditutup dalam tempoh PKP ini? KPWKM seharusnya tidak perlu diberitahu atau ditegur tetapi bijak mengatur strategi membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat dalam situasi sukar kini.

Dulu, Kak Wan dan Hannah Yeoh bersungguh-sungguh membantu dan membangunkan wanita Malaysia. Kini, kita perlu berpatah balik 10 hingga 20 tahun kebelakang dan wanita disarankan mengatur bahasa berbunga, bersuara lunak berserak seperti Doraemon dan bersolek untuk suami di rumah. Itukah wanita Malaysia mahu?