Seorang wanita terpaksa menanggung derita apabila kulit yang licin ibarat telur tiba-tiba ditumbuhi jerawat dengan banyak sehingga membengkak dan keluar nanah.
Lebih memburukkan keadaan, keradangan pada kulit wanita yang berusia 27 tahun itu berlaku ketika dirinya baharu sahaja mendirikan rumah tangga dengan suaminya.
Menerusi satu hantaran di platfrom TikTok, wanita dikenali sebagai Mimie itu berkata bahawa masalah dipercayai berpunca daripada pemakaian produk penjagaan kulit.
“Apabila sudah masuk ke alam perkahwinan, mula berhenti (memakai produk). Tetapi selepas berhenti, jadi macam ini. Perlahan-lahan keluar jerawat yang membengkak dan bernanah di pipi kiri.
“Sakit sangat, hanya Allah sahajalah yang tahu. Pipi kanan juga sama, bengkak dan nanah. Tak tahan sakit sebab bengkak dan denyut-denyut. Semakin lama, semakin merebak satu muka.
“Bayangkan betapa siksanya nak menahan sakit dengan bernanah satu muka. Nak menyesal pun sudah tak guna,” kata Mimie yang turut memaparkan keadaan kulitnya sebelum dan selepas berhenti memakai produk itu.
Jelas Mimie, produk yang dikatakan mengandungi bahan merkuri itu telah dipakainya sejak berada di bangku sekolah menengah untuk mendapatkan kulit cantik berseri.
Namun siapa sangka, tindakannya itu malah memakan diri hingga Mimie mengalami kesukaran untuk tidur terutamanya di malam hari akibat kesakitan yang melampau.
“Selepas pakai produk merkuri, kulit memang cantik. Tetapi lama-lama ia memakan kulit dalam diam sampai habis hancur. Mulanya, kulit memang bersinar-sinar macam telur. Pergi mana-mana orang tanya pakai apa.
“Dengan bangganya beritahu pakai produk itu, ini. Bukan satu produk merkuri Mimie pakai ya. Banyak sejak dari zaman sekolah menengah. Sekarang, nak tidur malam tak boleh. Menangis setiap masa.
“Nanah juga akan meleleh keluar waktu mandi. Sampai demam dan sakit kepalalah disebabkan ‘breakout’ yang teruk. Sentuh muka sahaja pun sakit. Bayangkan kalau nak mandi atau nak cuci muka. Hanya Allah sahaja yang tahu,” kongsinya lagi.
Meskipun tertekan dengan masalah yang dihadapinya itu, Mimie bagaimanapun rasa bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami dan sentiasa memberi sokongan.
“Suami tak pernah mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan saya. Malah, dia sentiasa memuji kecantikan saya dan yakin keadaan kulit ini akan pulih semula satu hari nanti.
“Saya sampai pernah cakap dekat dia, carilah orang lain. Sebab muka saya sudah buruk,” dedahnya yang turut memaklumkan bahawa pasangan usahawan kecantikan terkenal telah menghubunginya untuk memberi bantuan.