Malaysia Dateline

Wanita di Miri meninggal dunia selepas divaksin disebabkan penyakit jantung

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan punca kematian seorang wanita berusia 57 tahun selepas divaksin disebabkan penyakit jantung.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, pada masa sama hasil bedah siasat mendapati wanita itu tidak menunjukkan tanda-tanda anafilaksis terhadap vaksin.

Katanya, kes berkenaan telah mendapat perhatian selepas wanita terbabit dilaporkan meninggal dunia pada 26 Jun lalu di Hospital Miri kerana mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap kes pada 27 Jun mendapati terdapat tanda-tanda serangan jantung berlaku dua atau tiga hari sebelum kematian.

“Kes masih dalam siasatan Hospital Miri dan sedang menunggu keputusan daripada ujian yang akan dijalankan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohamed menjelaskan, wanita terbabit mempunyai sejarah ko-morbid penyakit kencing manis dan darah tinggi serta menerima suntikan vaksin pada 26 Jun pada jam 9.20 pagi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Miri.

Ujar beliau lagi, ketika dalam pemantauan di zon pemerhatian selepas divaksin wanita terbabit mengadu loya, kesejukan dan muntah pada jam 9.30 pagi dan segera dirawat di zon resusitasi oleh Pakar Perubatan Kecemasan.

“Rawatan kecemasan telah memberikan rawatan secara berterusan selama 40 minit sebelum wanita terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan dengan mendapatkan maklumat rasmi daripada sumber yang disahkan oleh pihak KKM.