Baru-baru ini tular satu hantaran dari seorang gadis yang berkongsi resit pembayaran dikenakan oleh sebuah pusat servis kereta selepas menghantar Perodua Bezza 1300 X miliknya di premis berkenaan.
Mengenangkan diri tidak memiliki sebarang pengalaman, gadis berkenaan tampil bertanya sekiranya bayaran yang berjumlah RM879.20 itu wajar dikenakan sedangkan jarak perbatuan kereta tersebut hanyalah 6,138 kilometer (km).
Lebih memburukkan keadaan, kakitangan yang bertugas di pusat servis terletak di Jalan Klang Lama itu dikatakan tidak bertanya pendapat pelanggannya terlebih dahulu sebaliknya hanya menjelaskan jumlah caj dikenakan.
Kakitangan pusat servis berkenaan juga memaklumkan kepada gadis terbabit bahawa servis dijalankan mereka itu ‘semuanya wajib’ untuk dilakukan sekiranya tidak mahu warantinya terbatal kelak.
“Kakitangan itu tak tanya pendapat saya sama ada mahu tambah servis atau tidak. Dia pusing komputernya, terus beritahu jumlah bayaran. Saya sudah kata, nak yang wajib sahaja. Tetapi kakitangan itu kata, semuanya wajib.
“Kalau tak, waranti terbatal. Sampai dua kali saya ulang-alik kaunter minta pekerja itu jelaskan kenapa harganya mahal sangat atau sekiranya orang lain turut dikenakan bayaran sama untuk servis kereta.
“Katanya YA, SEMUA SAMA. Kitanya pelajar, perempuan tak tahu apa. Selepas balik itu, tanya kawan dan keluarga. Barulah tahu kita kena tipu. Mohon jangan kecam. Ada cara tak nak tuntut balik? Mohon tunjuk ajar,” katanya.
Tular di media sosial, perkongsian gadis tersebut dimuat naik menerusi hantaran di platform media sosial Thread bersama salinan resit pembayaran dikenakan pusat servis berkenaan.
Gadis terbabit dalam hantaran sama turut memaklumkan bahawa situasi seperti itu adalah kali yang kedua berlaku dengan alasan sama ketika dikenakan bayaran sebanyak RM83.20 untuk servis jarak perbatuan 1,000 km.
“Servis pertama pun saya kena caj RM83.20 dengan alasan semua WAJIB. Walaupun saya sudah bantah, cakap yang dekat laman web telah dinyatakan bahawa ia percuma sahaja. Tetap katanya MEMANG WAJIB.
“Hanya caj cuci kereta RM12 itu memang saya yang setuju. Lagi satu soalan, betul ke kena terus caj untuk 20,000 km kalau lewat hantar servis bagi 10,000 km nanti?,” tulis gadis itu meminta pencerahan.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat bahawa caj dikenakan sememangnya terlalu mahal atau di dalam kata lain gadis terbabit telah ‘diketuk’.
Ramai juga pengguna berkongsi pengalaman dikenakan caj terlalu mahal selepas menghantar kenderaan mereka ke pusat servis sama sehinggakan ada yang dikenakan bayaran melebihi ribuan ringgit.
Dalam perkembangan terbaharu, gadis itu memberitahu bahawa pihak pusat servis telah menghubunginya untuk menawarkan baucar namun tawaran itu ditolak berikutan hanya mahu menunggu respon dari ibu pejabat Perodua.