“Wanita itu bercinta dengan suami aku. Tapi dia tak salah, mungkin kifarah sebab aku..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita menyangka, rumah tangganya bakal berbahagia selamanya selepas berjaya menawan hati keluarga suami yang telah didamkan sejak lama.

Namun sangkaannya meleset selepas jejaka pujaan hatinya itu rupa-rupanya masih menyimpan perasaan terhadap rakan sekelas yang dikenalinya sewaktu di universiti.

Tetap berkeras mempertahankan perkahwinannya, berikut perkongsian seorang isteri dikenali sebagai Aira yang nekad memperjuangkan cintanya ke titisan darah terakhir.

“Aku dan suami baru empat tahun berkahwin. Kami belum ada anak. Eiq (bukan nama sebenar) adalah lelaki yang aku cintai dari zaman sekolah menengah. Tetapi saat itu, kami hanya berkawan rapat kerana Eiq cuma anggap aku sebagai kawan baik. Oleh kerana kami rapat, keluarga masing-masing juga mengenali.

“Aku rapat dengan keluarga Eiq. Tetapi dia pula tak terlalu rapat dengan keluargaku. Selepas habis sekolah, aku merantau sambung belajar. Eiq belajar dekat tempat asal kami sahaja sebab kekangan kos. Kami semakin renggang dan jaranglah berhubung. Walaupun boleh sahaja Whatsapp.

“Eiq jarang menghubungi aku. Mungkin bagi menegaskan dia tiada hati dengan aku. Tetapi ada jugalah dia mesej dan telefon dalam dua ke tiga kali setiap minggu untuk bertanya khabar. Aku pula tak reti bahasa. Paksa juga dia terima aku lebih daripada seorang kawan. Minta peluang untuk buktikan aku mampu jadi kekasih hati dia. 

“Eiq memang tolak walaupun dia tiada kekasih. Lama-kelamaan, dia setuju juga. Bila keluarga Eiq tahu kami ‘bercinta’, mereka semua gembira. Memang mak Eiq harap aku jadi menantu. Bangga masa itu sebab mampu buat keluarga Eiq sayangkan aku walaupun perasaan dia tak lebih dari seorang sahabat.

“Bertahun kami ‘bercinta’, Eiq tetap sama. Jarang menghubungiku. Kami pula duduk berjauhan. Banyak kali juga dia memutuskan hubungan, tetapi aku tetap mahukan dia. Bila habis belajar, mak Eiq nak pinangkan aku untuk Eiq. Aku setuju. Aku tahu Eiq akan ikut sebab dia sangat sayangkan keluarganya. Kami pun bertunang.

“Sepatutnya ikatan pertunangan hanyalah enam bulan. Tetapi Eiq asyik tangguhkan pernikahan. Tangguh punya tangguh, sampai dua tahun berlalu. Persediaan sudah siap 80 peratus. Aku tahu Eiq tak nak nikah. Tetapi aku nak dia juga. Sebab aku tahu Eiq tiada sesiapa. Dia cuma tidak cintakan aku sahaja.

“Awal tahun 2020, kami selamat menikah. Aku bahagia sangat. Tetapi suami biasa-biasa sahaja. Persiapan nak kahwin pun dia tak ambil tahu. Keluarga uruskan semua. Malam sebelum pernikahan pun Eiq bekerja. Pukul 10 barulah dia balik dari pejabat. Punyalah dia nak tunjuk protes. Aku perasan dan nampak semua itu.

“Tetapi kerana sayang, aku butakan mata. Selepas nikah, Eiq tak sentuh aku pun di malam pertama. Hanya berborak tentang persiapan majlis persandingan. Kami cuma bersama selepas tiga bulan. Itupun selepas aku yang paksa suami. Memang jarang kami bersama. Selepas setahun menikah, Eiq semakin berubah.

“Kalau dahulu aku cakap dekat suami ‘i love you’, dia akan balas walaupun sekadar cakap ‘love you’. Tak pernah sekali pun dia sebut penuh. Aku perasan dan fahaminya. Kadang-kadang kalau cakap, tak pandang muka aku. Aku tahu dia nak jaga hati isterinya ini. Aku pula jenis apa-apa bagitahu mak suami.

“Akibatnya, mak dia akan ceramahlah. Selepas itu, suami marah aku. Suami cakap, aku dengan mak dia macam mengongkong. Tetapi aku pula rasa puas sebab mak dia sayangkan menantu. Sekurangnya, ada sebahagian dari Eiq yang jadi milik aku juga. Pendek cerita, rahsia suami terbongkar pada tahun ketiga perkahwinan kami.

“Suami rupanya mencintai perempuan lain. Sudah dua tahun setengah mereka jalani hubungan. Maknanya beberapa bulan selepas kami menikah, Eiq sudah mula curang dengan aku isterinya yang sah. Masa suami tidur, aku periksa telefon dia. Tak jumpa apa-apa dekat Whatsapp. Mungkin dia sudah padam mesej sebelum tidur.

“Aku tengok senarai kenalan suami pula. Rasa nak pecah dada aku jumpa salah satu kenalan yang dia simpan sebagai ‘my love’. Siap ada emoji hati lagi. Nombor aku? Dia cuma letak nama pendek sahaja. Aku ambil nombor wanita itu. Aku namakan dia Ika. Esoknya, aku ambik cuti kecemasan dan hubungi perempuan itu melalui Whatsapp.

“Ika rupanya tak tahu Eiq berstatus suami orang. Aku percaya. Sebab tak pernah ada gambar aku dalam akaun media sosial suami. Gambar kahwin pun tiada. Dia sejenis jarang kongsi apa-apa di sosial media kecuali mengenai kerja untuk tujuan promosi. Ika telefon aku. Menangis-nangis meminta maaf. 

“Kata Ika, mahu putuskan hubungan dengan Eiq. Aku jawab, ya sila putus. Eiq suami aku dan dia sayangkan isterinya. Aku cakap dia hanya tempat persinggahan sebab sebelum ini kami berjauhan. Tetapi dalam hati, aku tahu. Aku ini menipu diri sendiri. Mana mungkin suami sayangkan aku. Aku telefon mak Eiq ceritakan semuanya.

“Mak Eiq sahaja cara aku untuk tetap memilikinya. Suami pulang ke rumah selepas beberapa jam aku berhubung dengan Ika. Pulangnya awal daripada kebiasaan. Aku memerhati dari tingkap. Nampak Eiq sugul dan melangkah lemah masuk ke rumah. Dalam rumah baru nampak wajah suami kemerahan, matanya berair. Menangis.

“Eiq ajak aku duduk di meja makan. Meminta maaf kerana tidak mampu mencintaiku. Suami kata dia kecewakan aku. Tetapi aku juga boleh nampak betapa kecewanya dia bila Ika putuskan hubungan. Bila dengar suami cakap macam itu, aku cuma diam sahaja. Suami tidak berhenti meluahkan perasaannya.

“Katanya, ‘saya kenal Ika masa dekat kolej. Saya sukakan dia, cintakan dia dari masa itu lagi. Tetapi Ika tak pernah tahu’. Aku tanya kenapa? Suami kata kerana masa itu, dia rasa tak layak untuk Ika. Wanita itu cantik sangat dan anak orang-orang yang berkedudukan. Suami pula hanya orang biasa.

“Selepas habis kolej, mereka terputus hubungan. Berjumpa semula dalam dua bulan sebelum pernikahan kami. Masa itu, syarikat suami menggunakan khidmat di tempat Ika bekerja untuk menguruskan segala majlis mereka. Suami dan Ika mula berhubung semula dan semakin rapat. Suami mula ada keyakinan untuk mendekati Ika. 

“Tetapi mereka tiada hubungan masa itu, hanya sekadar berkawan. Selepas menikah beberapa bulan, barulah Eiq berani meluahkan perasaan pada Ika. Rupanya Ika juga merasakan yang sama. Malah Ika mengaku telah menyimpan perasaan terhadapnya sejak zaman kolej. Saat suami bercerita, nampak penyesalan di air mukanya.

“Aku hanya mampu menahan rasa marah dan kecewa. Mak Eiq mengamuk. Katanya tidak akan menerima perempuan itu. Aku? Masih cuba untuk buat suami sayang dan cintakan aku. Aku tahu suami masih cuba pujuk Ika. Dia sudah tak padam mesej di Whatsapp. Nama Ika masih lagi ‘my love’ dalam senarai kenalannya.

“Eiq semakin dingin dengan aku. Selepas itu, aku ajak Ika berjumpa. Ya, Ika sangat cantik orangnya. Berpewatakan menarik, pandai bergaya. Lemah lembut dan baik orangnya. Nampak penyayang. Patutlah suami tergila-gilakan dia. Aku tahu suami masih mencari-cari Ika. Aku nampak betapa tak keruannya dia. 

“Suami selalu keluar rumah secara tiba-tiba. Aku tahu dia ke rumah Ika. Kata Ika, dia selalu nampak kereta Eiq dekat luar rumah. Aku tanya Ika, masih sayangkan Eiq tak? Ika angguk. Ika cakap dia pun merana. Ini salah dia tak periksa betul-betul status Eiq. Aku percaya Ika tak tahu. Sebab aku baca mesejnya dalam telefon suami.

“Antara mesejnya, ‘sampai hati Eiq tipu Ika, apa salah Ika. Ika betul-betul sayangkan Eiq’. Balasan suami pula, tak sanggup aku nak cerita. Memang nampak sangat suami begitu cintakan Ika. Dekat rumah macam budak kecil yang kematian ibu. Tak mahu makan, asyik termenung sahaja. Mengigau sebut nama Ika pun pernah. 

“Aku mengamuk juga ketika itu. Tetapi suami hanya diam dan minta maaf. Dari segi nafkah zahir, Eiq bertanggungjawab. Dia beri beribu-ribu setiap bulan walaupun aku ada pendapatan sendiri. Tapi sekarang, aku tak kisah pasal nafkah. Kalau tak bagi pun tidak mengapa. Aku cuma nak hati Eiq, suamiku.

“Dua hari lepas, suami tiba-tiba buka mulut. Eiq kata, dia takkan lepaskan Ika. Kalau suami berjaya memujuk Ika, dia akan menikahinya. Suami siap beri amaran. Jangan sesekali aku cuba untuk buat Ika tinggalkan dia lagi. Aku cakap, ‘mak awak takkan terima’. Suami balas, ‘tidak mengapa, Ika tak perlu jumpa mak’.

“Katanya, buat apa jumpa kalau mak cuma akan sakitkan hati Ika sahaja. Tiada sesiapa boleh sakitkan hati Ika atau buatnya menangis. Selepas suami cakap macam itu, aku terduduk menangis. Dia biarkan sahaja. Suami langsung tidak mencuba untuk peluk atau tenangkan isteri dia ini.

“Katanya, ‘sampai mati, Ika cinta hati saya. Cinta hidup dan mati saya. Dia menerima saya seadanya, ketika susah senang dan jatuh bangun saya. Tak pernah suruh saya buat benda yang saya tak mahu buat. Ika satu-satunya yang memahami saya’. Masa itu, dunia aku rasa gelap. Sekarang aku tak tahu apa status Ika dengan suami. 

“Aku lemah-selemahnya walaupun cuba buat macam biasa. Mak Eiq yang aku cuba jadikan senjata supaya suami menjadi milikku seorang pun tidak lagi berkesan. Eiq minta ampun dan menangis-nangis kepada ibunya. Kata suami, dia layak bersama dengan orang yang dia cintai.

“Kerana bagi suami, sebelum ini dia hanya memikirkan kebahagiaan orang lain. Yang lebih membunuh suami, Ika tidak lagi respon kepada mesej dan panggilannya. Suami pernah cakap dekat aku, dia takkan biarkan Ika jatuh ke tangan lelaki lain. Ika sayang dia dan satu hari nanti dia akan kalah juga kalau Eiq tidak berputus asa.

“Aku hanya mampu pasrah. Tak mampu aku nak labelkan Ika jahat, penyondol atau sebagainya sebab dia memang perempuan yang baik hatinya. Kita dapat rasa aura seseorang itu kan. Berhubungan dengan suami orang tak menjadikan Ika jahat. Dia hanya membuat pilihan yang salah. Manusia mana tak pernah buat silap.

“Tetapi dia cuba perbetulkan dengan memutuskan hubungan dengan Eiq. Aku hargai itu. Mungkin aku yang salah kerana dari awal memaksa suami dan menggunakan keluarga untuk mengikatnya. Biarlah begini asalkan Eiq di depan mata aku sentiasa. Doakan aku kuat.” Kongsi Aira (Bukan nama sebenar).

Baca juga: 8 tahun kahwin, Marsha Milan kongsi mentua dan suami tak pernah bagi tekanan, mahu buat IVF hujung tahun ini