Wanita jangan ragu-ragu tuntut hak, kata Siti Mariah

Wanita jangan ragu-ragu tuntut hak, kata Siti Mariah

Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) diseru meneruskan perjuangan mengangkat martabat wanita tanpa rasa apologetik kerana ia selaras dengan kehendak Islam.

Ketuanya Dr. Siti Mariah Mahmud berkata ramai wanita bimbang untuk memberi komitmen terhadap perkara ini kerana takut dituduh bersekongkol dengan kumpulan yang memperjuangkan feminisme dan liberalisme yang akhirnya menuntut hak yang sama taraf antara lelaki dan perempuan.

“Saya sendiri sudah sedia maklum dilabel sedemikian rupa.

“Sebelum ini dalam beberapa siri perbahasan di Dewan Rakyat, apabila saya bangkit dan menyatakan pandangan berbeza dalam membela golongan wanita.

“Dengan mudah saya menerima kecaman dan pelbagai label yang negatif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di konvensyen AWAN Nasional Kali Ke-2 di Seri Kembangan hari ini.

Nabi Muhammad S.A.W. sendiri katanya, adalah reformis masyarakat dan feminis ulung yang membawa pembaharuan di dunia ini.

“Kita selalu mendengar bahawa Islam telah memberi status yang amat tinggi kepada wanita.

“Ini semua berlaku jauh sebelum wanita di barat menikmatinya,” katanya.

Wanita Islam menurutnya lebih jauh ke hadapan dari segi pengiktirafan agama.

“Ada yang persoalkan apa perlunya wanita Islam memperjuangkan hak seolah-olah mereka tiada hak di dalam Islam.

“Memang benar hak telah diberikan oleh agama tetapi yang kita tuntut ialah pelaksanaannya dan jika ada pertikaian ialah sebahagian daripada pemahaman dan pentafsirannya,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menegaskan, wanita tidak harus terperangkap dalam bentuk retorik dan dogmatik.

“Menjadi satu tuntutan untuk kita jelmakan usaha ini dalam bentuk yang lebih realistik dan ‘tangible’.

“Kita jangan lupa adanya golongan wanita bukan Islam turut menganggotai AWAN.

“Sudah berapa banyak program berbentuk perkongsian idea dan kefahaman silang budaya yang sudah kita adakan bagi saling memahami sentimen golongan wanita bukan Islam telah kita laksanakan,” katanya.

Menyentuh isu pembelaan golongan wanita terpinggir dan terjebak dengan maksiat, beliau berkata semua perlu jelas bahawa AWAN tidak berkompromi dengan gejala ini.

“Sikap kita dalam hal ini adalah tidak harus kita membenci mereka kerana mereka adalah sasaran dakwah kita.

“Kerana kasih sayang dan empati kita kepada mereka serta menjadi tanggungjawab para da’i, masyarakat dan kerajaan mesti berusaha membawa mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Konvesyen turut dihadiri pemimpin wanita parti-parti Pakatan Harapan dan wakil beberapa NGO wanita dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Konvensyen AWAN tetamu

TAGS