Hasrat seorang wanita untuk menikmati Cromboloni terbantut apabila mendapati pastri yang dipesan langsung tidak sama seperti diiklankan peniaga.
Lebih memburukkan keadaan, peniaga dari Perak itu enggan mengaku kesilapannya malah bersikap berdolak-dalik ketika diminta pelanggan untuk membuat penjelasan.
Meluahkan kekecewaannya, wanita dikenali sebagai Fajar Mustapha itu memuat naik gambar cromboloni bersama iklan yang dipaparkan peniaga berkenaan di Facebook.
Rata-rata pengguna media sosial yang melihat gambar itu boleh melihat perbezaan ketara antara cromboloni diiklankan dengan makanan dihantar kepada pelanggan.
“Orang nak berniaga, hang pun nak berniaga. Kepala ba** betul. Hangin aku. Orang (peniaga dari) Taiping atau Kamunting. Pasal inilah aku malas nak order (pesan).
“Orang beli pakai duit oii. Ampa (kamu semua) bezakan sendiri antara iklan dengan apa yang dia hantar dekat aku,” luah Fajar Mustapha menerusi satu hantaran tular.
Merasa ‘panas hati’ dengan maklum balas peniaga berkenaan, Fajar turut memuat naik tangkap layar memaparkan perbualannya dengan penjual cromboloni tersebut.
Hanya mengambil pesanan sekadar mengisi masa lapang, gambar yang digunakan oleh peniaga berkenaan sebagai iklan juga diambil daripada platform media sosial.
“Awak, saya ini homebaker sahaja. Buat pun sengaja suka-suka ambil order. Minta maaf kalau awak letak harapan yang terlalu tinggi dekat produk saya.
“Itu (gambar cromboloni dalam iklan) untuk rujukan sahaja awak. Saya letak logo dekat poster jadi sebiji macam produk saya,” kata peniaga cromboloni yang berharga RM13 itu.
Berjaya mengundang perbincangan hangat, ramai pengguna media sosial menyelar tindakan peniaga tersebut yang disifatkan sebagai tidak jujur dalam urusan jual beli.
Ada juga individu mencadangkan agar Fajar membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai pengajaran buat peniaga lain.
“Dia sudah padam iklan ini, cari tak jumpa. Sudahlah guna gambar orang punya. Menipu dalam berniaga. Dapat duit tak berkat,” kongsi seorang pengguna.
“Kena buat laporan. Dia guna gambar orang lain. Buat iklan dan tipu pembeli. Kita bukan nak tutup periuk nasi orang. Tetapi mereka yang tak jujur.” Cadang pengguna lain.
Baca juga: Selamba kongsi tip curang, akaun TikToker diserang netizen