Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang wanita yang mendakwa telah dipecat oleh majikannya dengan serta-merta hanya kerana membuat satu kesalahan yang disifatkannya tidak logik.
Kejadian itu cukup memberi kesan kepada gadis terbabit berikutan belum ada sebarang pengalaman berhadapan dengan situasi sedemikian ekoran dipecat ketika dirinya baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform X, wanita itu mendakwa telah dibuang kerja tanpa diberikan surat amaran hanya kerana waktu yang diambilnya untuk mendirikan solat dianggap terlalu lama oleh majikan.
Sedangkan wanita itu merasakan dirinya hanya beribadah di dalam tempoh 20 minit selain berpandangan bahawa alasan diberikan oleh pihak majikan untuk memecatnya seperti tidak logik.
“Salam, saya baru pertama kali bekerja tetapi sudah kena pecat. Sebabnya solat lama sangat. Majikan langsung tak beri sebarang amaran. Terus pecat begitu sahaja. Rasanya saya solat kurang daripada 20 minit setiap waktu.
“Jadi nak tanya Kakak-Kakak semua, adakah tempoh itu dikira lama untuk saya mendirikan solat? Adakah logik untuk saya dipecat sebab alasan ini?,” soal gadis terbabit dalam perkongsian tersebut.
Perkongsian yang mengundang perbincangan hangat itu dimuat naik menerusi satu hantaran tular di platform dahulunya dikenali sebagai Twitter tanpa didedahkan identiti sebenarnya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu juga mengakui tidak pernah melihat rakan sekerjanya sembahyang selain daripada solat Jumaat namun lokasi sebenar tempat kerjanya tidak didedahkan.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat yang sama bahawa pemberhentian tersebut dilakukan secara tidak adil dan seharusnya dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab.
Beberapa individu yang pernah dipecat secara tidak adil juga tampil memberitahu langkah-langkah perlu diambil oleh wanita terbabit sekiranya mahu membawa majikan ke muka pengadilan.
“Boleh rujuk garis panduan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk solat. Anda boleh bawa aduan kepada pihak JTK, beritahu majikan tidak berikan garis panduan mengenai tempoh diberikan untuk solat dan pecat tanpa surat amaran,” kata seorang pengguna.
“Saya baru menang kes pemecatan tak adil. Mula-mula pergi lapor di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Selepas itu barulah upah peguam. Kalau tak mampu, ada servis peguam secara percuma tetapi kena tunggu giliran.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Makan mahal tapi bayar RM4 je, peniaga kesal lihat pelanggan bagi alasan tak cukup duit