Seorang wanita tidak pernah menyangka bakal menerima ujian berat selepas doanya untuk dikirimkan suami sebaik ‘malaikat’ akhirnya dimakbulkan oleh Tuhan.
Menyangka sang suami bakal membahagiakan hidupnya, namun rumah tangga yang dibina hanya bertahan selama tujuh tahun gara-gara ‘kelemahan’ dimiliki lelaki itu.
Baru menyedari kesilapannya dalam berdoa, pengalaman yang dialami oleh wanita dikenali sebagai Sarah itu diceritakan semula rakannya menerusi platfrom TikTok.
Mahu kisah tersebut dijadikan teladan, pemilik akaun TikTok itu menekankan bahawa Sarah mula berdoa agar dikirimkan suami ‘sebaik’ malaikat sejak di bangku sekolah.
“Aku ada seorang kawan. Kalau berdoa pasal jodoh, dia mesti sertakan sekali ciri-ciri yang dimahukan. Dari bangku sekolah dia sering berdoa mahukan jodoh yang baik macam malaikat.
“Amalan diteruskan sampailah dia bertemu dengan calon suami yang sifatnya seperti didoakannya. Macam ‘malaikat’ baiknya lelaki itu. Maka mereka pun berkahwinlah, memang cukup pakejnya.
“Suami dia memang kacak, imam masjid, rajin baca Al-Quran dan beribadat. Lelaki itu baik teramat sangat. Tiba-tiba, Sarah bercerai dengan suaminya selepas tujuh tahun perkahwinan,” katanya.
Penceraian tersebut telah menimbulkan persoalan di kalangan orang sekeliling Sarah kerana wanita itu terlihat bahagia bersama suami walaupun tidak dikurniakan anak.
Namun siapa sangka, Sarah yang berusaha kelihatan ceria di hadapan rakannya itu rupanya menderita selama perkahwinannya dengan lelaki sebaik ‘malaikat’ tersebut.
“Sarah beritahu yang suaminya memang cukup pakej. Tetapi lelaki itu langsung tidak menyentuhnya sepanjang tujuh tahun perkahwinan. Bukan suaminya tak mencuba, tetapi tidak boleh.
“Suami Sarah sampai menangis-nangis selepas tidak berjaya. Sarah memang masih dara selepas tujuh tahun berkahwin. Mereka sudah pergi berubat, tetapi memang tiada penyakit mati pucuk atau sihir pemisah.
“Punca masalah adalah suaminya tiada selera langsung terhadap wanita. Seolah-olah sama seperti ‘malaikat’ yang didoakan Sarah. Sekarang dia bencikan suaminya kerana tidak berterus-terang sebelum berkahwin,” ulasnya.
Mengambil iktibar atas pengalaman Sarah, pengguna TikTok berkenaan menasihati supaya orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melampaui batas ketika berdoa
“Hati-hati bila berdoa. Takut nanti bila dimakbulkan, kita pula yang tidak bersedia.” Jelasnya.
Baca juga: 3 pemimpin NGO Islam dalam senarai FBI, KDN cuba dapatkan gambaran tepat