Wanita kesal suami terlalu prihatin, ‘transfer’ RM3,000 untuk janda susah di TikTok

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang isteri tidak menyangka, suaminya boleh bersikap terlalu ‘prihatin’ sehingga sanggup memindahkan wang berjumlah RM3,000 kepada wanita kesusahan bergelar janda.

Difahamkan, wanita bergelar janda itu sebenarnya tidak dikenali oleh suaminya secara peribadi sebaliknya mereka hanya berhubung melalui pesanan secara terus (DM) di aplikasi TikTok.

Wanita itu dikatakan sering melakukan siaran langsung di akaun TikTok sebelum bertindak menghantar DM kepada penontonnya terutama pengguna lelaki untuk berkongsi masalah kewangan dan rumah tangga.

Akhirnya penonton siaran langsung akan merasa simpati sebelum bertindak memindahkan sejumlah wang kepada janda berkenaan termasuklah suami kepada pengadu, lapor Mstar.

“Hai, saya nak berkongsi satu cerita. Ada seorang janda ini selalu buat sesi siaran langsung di aplikasi TikTok semata-mata untuk menayang muka sahaja. Kemudian, dia akan menghantar DM kepada lelaki untuk berkongsi masalah.

“Wanita itu juga ada menghantar DM kepada suami saya. Dia mengadulah mengenai hubungannya dengan bekas suaminya. Kemudian mengadu tiada duit, sakit pening dan sebagainya.

“Akhirnya, dia minta tolong suami saya untuk berikan duit. Suami saya pula memindahkan wang berjumlah RM3,000 kepadanya dengan alasan kasihan. Apa anda fikir?,” soal si isteri memetik laporan Mstar.

Difahamkan, wang berkenaan akan digunakan oleh janda itu untuk urusan pembelian telefon pintar baharu ekoran gajet lamanya rosak akibat dibaling suaminya selain tidak diberikan nafkah.

Pengadu turut memuat naik tangkap layar memaparkan sesi siaran langsung dilakukan oleh wanita terbabit untuk rujukan kaum isteri agar mereka dapat memantau suami masing-masing.

“Wanita berkenaan beritahu yang suaminya tidak berikan nafkah dan sebagainya. Dalam masa yang sama, dia juga mengadu tiada duit sebab perlu tanggung keluarga. Lalu jumpa pula dengan suami saya yang prihatin ini, cairlah.

“Kamu semua lebih baik periksalah TikTok suami masing-masing ya. Berdasarkan pengalaman saya, mereka sanggup habiskan duit tambah nilai di TikTok semata-mata nak beri ‘gift’ kepada janda yang buat siaran langsung.

“Kalau tak percaya, kamu semua boleh menonton mana-mana siaran langsung di platform TikTok. Kebanyakannya lelaki berstatus suami orang yang murah hati memberi ‘gift’ ini.” Kongsi pengadu.

Baca juga: Kantoi ada kedai tawar servis tukar tayar untuk masuk PUSPAKOM, netizen ‘korek’ gambar tahun 2020