Wanita kesal tak dapat tengok ayah buat kali terakhir, dihalang ibu mentua kerana masih berpantang

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak manakah yang dapat menerima kenyataan apabila dilarang untuk mengunjungi sang ayah buat kali terakhir sebelum insan kesayangan itu dikebumikan.

Itulah kejadian dialami oleh seorang wanita yang dihalang oleh ibu mentuanya untuk pulang ke kampung halaman kerana baru melahirkan anak di dalam tempoh 12 hari.

Wanita itu berpendapat bahawa dirinya sepatutnya dibenarkan pulang kerana telah menghabiskan proses berurut dengan penjaga pantang sebelum kejadian berlaku.

Jelasnya, rasa sakit kerana tidak dapat melihat wajah ayahnya untuk kali terakhir itu masih kekal terasa hingga kini meskipun kejadian memilukan tersebut sudah berlalu.

“Saya masih ada isu yang masih tidak selesai dengan mentua dan suami. Ayah saya meninggal dunia tahun lepas. Tetapi saya tak dapat pergi pengebumian ayah sebab tengah dalam pantang.

“Ketika itu, saya sudah 12 hari bersalin. Proses berurut dengan penjaga pantang (CL) selama tujuh hari juga sudah diselesaikan. Jadi sepatutnya saya boleh sahaja pergi ke Johor Bahru daripada Kuala Lumpur.

“Tetapi saya tak dapat pergi hanya kerana mak mentua tak benarkan sebab masih di dalam tempoh berpantang. Suami juga ikutkan sahaja ibunya. Sedangkan waktu itu,  saya sudah menangis meraung-raung,” katanya.

Berjaya meruntun jiwa orang ramai, perkongsian itu dibuat oleh wanita terbabit tanpa mendedahkan identitinya menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platfrom X.

Menurut wanita itu, sikap suami yang terlampau mengikutkan cakap ibu mentuanya tanpa memikirkan perasaan isteri sendiri turut menambahkan rasa kekesalannya. 

“Saya menangis dari pagi sampai malam. Sedih sangat. Sedih seorang diri di rumah itu sedangkan semua ahli keluarga balik untuk kebumikan ayah. Sampai sekarang kalau duduk seorang diri, mesti teringat balik rasa sakit dan marah itu.

“Kakak saya sampai telefon suami suruh bawa saya balik. Tetapi suami tetap ikutkan cakap mak dia. Akhirnya saya tak balik pun. Tak mampu nak bayangkan perasaan di dalam hati ini.

“Adakah salah apa yang saya rasa ini? Sebab sampai sekarang, rasa sakit itu memang tak hilang.” Soal wanita itu dalam perkongsian tersebut dengan harapan pengguna media sosial dapat memberikan nasihat atau pendapat mengenai masalahnya.

Baca juga: “Aku sampai ikat perut sebab nak bagi mak duit, sekali adik aku guna duit tu untuk ‘shopping’…”